Jurgen Klopp memuji perwatakan Liverpool selepas pasukannya itu terpaksa berhempas-pulas untuk menewaskan West Ham dalam aksi mendebarkan di Anfield awal pagi tadi.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu mendahului menerusi gol tandukan Georginio Wijnaldum pada awal permainan sebelum lawan berkenaan mula mempamerkan ancaman.

Selepas Issa Diop menyamakan kedudukan berselang 174 saat daripada gol pembukaan itu, pemain gantian, Pablo Fornals -- yang menggantikan Tomas Soucek yang cedera dalam babak kedua -- meletakkan West Ham di depan selepas menyudahkan hantaran lintang Declan Rice.

Bagaimanapun, penjaga gol, Lukasz Fabianski, menghadiahkan pasukan tuan rumah itu gol penyamaan apabila membenarkan rembatan Mohamed Salah melepasi di celah-celah kakinya.

Fabianski kemudian sekali lagi ditewaskan untuk Sadio Mane menjaringkan gol kemenangan Liverpool pada minit ke-81.

"Saya amat menggemari cara kami memulakan perlawanan ini. Kami menjaringkan gol pertama yang hebat tetapi kemudian, kami tidak cukup bagus dalam situasi bola kedua," katanya kepada Sky Sports.

"Kami bergelut dengan keadaan itu dan memberikan West Ham keyakinan.

"Mereka mampu memenangi bola kedua daripada sepakan gol dan ia amat menyukarkan kami.

"Kami agak kehilangan sabar dalam babak pertama, anda dapat melihatnya ketika kami melakukan serangan.

"Mereka menjaringkan gol kedua dan saya perlu melihat semula bagaimana ia berlaku.

"Selepas itu, kami dipaksa untuk bertenang dan melakukan setiap perkara dengan betul.

"Kesemua gol yang kami jaringkan agak pelik.

"Gol terbaik yang kami jaringkan tidak dikira kerana Mane berada di posisi ofsaid.

"Tetapi anda perlu berhempas-pulas dan itulah yang kami lakukan pada malam ini untuk mendapatkan tiga mata.

"Ia amat istimewa," katanya.


Klopp juga gembira dengan cara pasukannya memberikan respons selepas ketinggakan 1-2, yang membenarkan mereka melebarkan rekod kemenangan kepada 18 perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut.

Ia juga menyaksikan mereka menyamai pencapaian yang dilakar Pep Guardiola bersama Manchester City sekitar Ogos hingga Disember 2017.

Skuad The Reds itu juga hanya memerlukan empat lagi kemenangan untuk menjulang kejuaraan liga pertama sejak 30 tahun lalu.

"Gerakan set-piece memberikan kami kebangkitan malam ini, untuk mendapatkan kembali momentum.

"Kerana kami memperoleh banyak peluang daripada gerakan itu.

"Terdapat banyak perkara yang kami boleh lakukan dengan lebih baik tetapi selepas melalui jumlah perlawanan seperti ini, anda tidak dapat beraksi hebat sepanjang masa.

"Kami hanya mencuba untuk memberikan yang terbaik dengan apa yang kami ada.

"Saya gemar dengan perwatakan yang kami tunjukkan.

"Hantaran lintang Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold mungkin terlalu kuat tetapi situasi kami amat hebat.

"Jadi, semuanya OK," katanya lagi.