Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, meminta maaf atas perbalahan dengan peminat Swansea City dalam kekalahan 1-0 pasukannya yang menyaksikan rekod 14 perlawanan tanpa kalah The Reds dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) lebur di Stadium Liberty, awal pagi tadi.

Pengurus Jerman itu berkata dia bertindak balas terhadap peminat yang cuba melakukan provokasi sebelum insiden gol yang disumbat Alfie Mawson pada minit ke-40.

"Sepanjang masa, dia berteriak ke arah saya," kata Klopp.

"Maaf, saya bertindak balas sekali, saya mengingatkan diri bahawa saya seorang manusia biasa dan bukannya seorang pengurus yang bersikap profesional sepanjang masa. Mereka boleh mengatakan apa sahaja yang mereka mahukan.

"Pada suatu ketika, saya berkata 'tolonglah', saya tidak mempunyai alat perakam seperti anda, jadi tiada bukti dan tiada siapa yang boleh mendengar apa yang dikatakannya ketika itu. Namun, saya tidak boleh menggunakan alasan itu.

"Saya berkata, 'Cukuplah, sudahlah.' Saya tidak pasti sama ada ketika itu kami ketinggalan 1-0, tetapi ia tiada kaitan."

Liverpool tergelincir ke tangga keempat EPL, tiga mata di belakang penghuni tempat ketiga, Chelsea.

Klopp berkata kelakuannya terhadap peminat itu adalah tidak bijak sambil mengakui dia tidak seharusnya bertindak balas.

"Saya yakin bukan saya seorang sahaja menjadi sasarannya, saya fikir dia pemegang tiket bermusim," kata Klopp lagi.

"Ia juga sebahagian kesilapan saya, saya tidak perlu bertindak balas tetapi saya tidak mengatakan apa-apa yang buruk, saya hanya memperlihatkan bahawa saya tidak terlalu gembira dengan apa yang dikatakannya sepanjang masa."