Jurgen Klopp percaya Ole Gunnar Solskjaer telah menjalankan tugas dengan cemerlang di Manchester United dan terbukti berkemampuan untuk melaksanakan tugasan di kelas tertinggi.

Solskjaer tiba di Old Trafford bagi menggantikan Jose Mourinho, Disember lalu, selepas bekas pemain kesukaaan ramai di United itu dilantik sebagai pengendali sementara sehingga hujung musim ini.

Kepulangan pengurus berbangsa Norway itu ke Manchester mencetuskan dorongan besar terhadap prestasi kelab itu yang menyaksikan United hanya tewas sekali di bawah asuhannya -- bertemu Paris Saint-Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu.

Solskjaer, yang akan menghadapi ujian getir menentang Liverpool, Ahad ini, sebaliknya mendapat sokongan daripada rakan sejawatannya di Liverpool, Klopp, yang mengakui kemajuan seteru mereka itu di bawah bimbingan Solskjaer.

"Kami bukanlah ahli silap mata, kami tidak dilantik dengan mengatakan: 'Anda sebuah pasukan yang bagus tetapi saya boleh membuatkan anda benar-benar bagus'," kata Klopp kepada Sky Sports. "Kami mendapat manfaat ekoran kehadiran ramai pemain hebat di sekeliling kami.

"Ole Gunnar Solskjaer melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang. Dia mencetuskan potensi dan kualiti pasukannya. Itulah perkara yang dilakukannya dan ia meletakkannya setaraf dengan pengurus kelab besar yang lain.

"Sebab itulah saya tidak terkejut.

"Saya tidak mengenalinya -- Klopp sempat bertemu dengan Solskjaer hanya sekali tahun lalu dan mereka sempat berbual -- saya hanya mengenalinya sebagai seorang pemain tetapi apa yang dilakukannya setakat ini adalah cemerlang."