Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mendakwa debaran untuk meraikan kemenangan 3-1 ke atas seteru kejuaraan, Manchester City, sebagai sesuatu yang gila.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu di Anfield dilihat menyajikan aksi penuh debaran dan kontroversi tatkala Liverpool mengesahkan kemenangan untuk meraih kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

Jaringan hasil rembatan deras Fabinho pada minit keenam hadir sejurus City tidak diberikan sepakan penalti walaupun mereka mendakwa bola terkena tangan Trent Alexander-Arnold sebelum itu.

Mohamed Salah dan Sadio Mane meletakkan Liverpool dalam kedudukan selesa sebelum gol Bernardo Silva pada minit ke-78 memberikan jaringan sagu hati sebelum tamat.

Dan Klopp dilihat berdebar-debar menanti wisel penamat sebelum mengesahkan tiga mata.

"Kehebatan perlawanan ini sangat memukau. Sungguh gila. Bagi kami, ia kebiasaan apabila perlawanan menjadi gila," katanya.

"Kebiasaannya, City lebih banyak mengawal permainan tetapi ia gagal dilakukan berdepan kami hari ini. Namun, mereka bagus. Kami perlu bertahan dengan baik dan menghasilkan jaringan hebat.

"Saya perlu fikirkan tentang apa yang diperkatakan sebelum perlawanan kerana hari ini, saya meminta untuk menyudahkan peluang dari luar kotak penalti.

"Saya perlu lebih kerap memintanya. Salah saya kerana ia gol pertama dari luar kotak penalti musim ini. Namun, jaringan Fabinho sangat hebat.

"Kemudian, serangan balas. Hantaran Andy Robertson sangat hebat, disudahkan dengant tandukan oleh Salah.

"Aksi sebegini semestinya hebat. Ia tidak mudah, seperti yang anda lihat, dan sudah tentu kehebatan perlawanan membunuh anda.

"Ia agak lama dalam bola sepak. Kami mempertaruhkan segala-galanya ketika berdepan lawan seperti City. Adakah ia berbaloi? Sudah tentu. Ia sangat hebat."