Klopp gembira Liverpool rakam kemenangan terbaik ke atas United

Oleh Staff Writer 20 Januari 2020 2639
Klopp gembira Liverpool rakam kemenangan terbaik ke atas United
Jurgen Klopp memuji Liverpool selepas merakamkan kemenangan 2-0 dan salah satu kemenangan terbaik ke atas Manchester United.

Tandukan Virgil van Dijk pada minit ke-14 dan jaringan Mohamed Salah dalam masa kecederaan cukup untuk menundukkan The Red Devils di Anfield awal pagi tadi dan memberikan kelebihan 16 mata buat Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan Roberto Firmino dalam separuh masa pertama dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) tetapi tuan rumah menoktahkan kemenangan apabila Salah mengejar hantaran jauh Alisson sebelum menewaskan penjaga gol, David de Gea.

"Ia merupakan perlawanan yang berkualiti, salah satu 'derby' terbaik kami," kata Klopp.

"Kami mendominasi sebahagian besar perlawanan. Saya tidak berapa gemar dengan aksi separuh masa pertama, pada penghujung lima atau tujuh minit. Tiada apa yang berlaku, kami tidak terlalu dominan seperti sebelum ini.

"Tetapi pada 10-15 minit terakhir, ia luar biasa."

"Permulaan separuh masa kedua benar-benar kejam," kata Klopp lagi. "Kami memiliki tiga atau empat peluang. Tidak menjaringkan gol dan lawan kami turut berusaha mencipta peluang.

"Kami perlu bertahan dan melakukannya dengan penuh bersemangat. Ditambah pula dengan suasana dalam stadium, ia sungguh menakjubkan.

"Dan yang terakhir, hantaran daripada Alisson Becker, hebat. Salah pula, jaringan yang terbaik."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen