Jurgen Klopp tiada masalah dengan cara pengurus England, Gareth Southgate, mengendalikan insiden pergaduhan di antara Joe Gomez dan Raheem Sterling.

Gomez dan bekas bintang Liverpool, Sterling, terlibat dalam satu perbalahan di St George's Park pada 11 November lalu, sehari selepas kedua-dua pemain itu bertengkar sewaktu kemenangan 3-1 The Reds ke atas Manchester City.

Southgate menggugurkan Sterling daripada skuad England yang menundukkan Montenegro 7-0 tetapi Gomez diejek sesetengah penyokong dalam perlawanan tersebut.

Sterling kembali sewaktu The Three Lions menewaskan Kosovo 4-0 tatkala England menamatkan kempen kelayakan Euro 2020, menyaksikan Gomez -- yang mendakwa insiden itu telah selesai -- diketepikan akibat kecederaan lutut.

Klopp menjangkakan Gomez akan dapat beraksi menentang Crystal Palace malam ini jika diperlukan dan pengendali Liverpool itu berpuas hati dengan cara Southgate mengendalikan situasi yang berlaku itu.

"Gomez lebih bagus, segalanya dalam keadaan baik," ujar Klopp.

"Jika orang ramai tidak dapat memahaminya, ia hanya diperbesarkan dan kami bercakap tentangnya selama lima minggu. Mereka yang terlibat kini dalam keadaan baik.

"Perkara sebegini berlaku dalam persekitaran bola sepak. Ia satu cabaran besar untuk pemain memberikan segala-galanya sewaktu bertelagah antara satu sama lain dan beraksi bersama sehari kemudian.

"Tiada apa perlu diperkatakan tentang perkara itu. Southgate dan Persatuan Bolasepak England (FA) telah menguruskannya dengan baik. Saya tidak menghakiminya kerana tidak berada dalam situasi itu. Gomez dalam keadaan baik, tiada apa lagi perlu diperkatakan."

Kemenangan Liverpool ke atas City menyaksikan The Reds kini sembilan mata mengatasi juara bertahan itu selepas 12 perlawanan.