Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menolak untuk mengulas spekulasi berkaitan bintang Barcelona, Philippe Coutinho, yang dikhabarkan akan kembali menyertai pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

Coutinho bergelut untuk merebut tempat kesebelasan utama Barca musim ini selepas menyertai pasukan itu daripada Liverpool dengan yuran perpindahan £142 juta (RM664.1 juta) awal tahun lalu.

Pemain kebangsaan Brazil tersebut kini dikaitkan dengan pasukan lamanya itu serta seteru utama mereka, Manchester United.

Ditanya mengenai spekulasi itu, Klopp berkata: "Ada perkara yang saya tidak gemar untuk memperkatakan.

"Saya tidak mahu mengatakan ia berpotensi untuk berlaku atau perpindahan yang saya inginkan.

"Tiada apa untuk diperkatakan.

"Setiap yang keluar daripada mulut saya akan membuka cerita baru.

"Phil kini bersama Barcelona dan setakat pengetahuan saya, dia amat bahagia di sana," katanya.

Masa depan Klopp turut menjadi topik perbincangan hangat menjelang pertemuan Liverpool dengan Crystal Palace malam ini.

Pengendali kelahiran Jerman itu menandatangani kontrak lanjutan selama enam tahun pada 2016, namun Klopp tidak berminat untuk membincangkan perjanjian baru di Anfield selepas pasukannya kini berkelebihan empat mata di tangga teratas liga.

"Saya gembira jika mereka tidak datang untuk membincangkan perkara itu buat masa ini.

"Saya tidak mahu memikirkannya.

"Saya masih ada tempoh yang panjang dan banyak perubahan akan berlaku menjelang 2022.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu memikirkannya buat masa ini.

"Saya perlu melengkapkan dua tahun ini dan kemudian, kita akan tahu," katanya.