Persatuan Bolasepak England (FA) telah meminta Jurgen Klopp untuk menjelaskan kenyataannya tentang pengadil, Kevin Friend, ketika Liverpool diikat West Ham 1-1 kelmarin.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, mendahului dalam aksi di Stadium London itu menerusi jaringan Sadio Mane tatkala pengadil gagal menghukum James Milner yang berada di posisi ofsaid sebelum melakukan bantuan gol berkenaan.

Klopp mendakwa Friend memberikan kelebihan kepada tuan rumah dalam situasi 50-50 selepas rehat dan The Reds terpaksa menerima keputusan seri setelah Michail Antonio menjaringkan gol penyamaan.

Bercakap kepada Sky Sports, pengendali Liverpool itu berkata: "Terdapat banyak situasi 50-50 atau 60-40. Sepakan percuma diraih oleh lawan. Sebagai manusia biasa, saya tahu mungkin saya melakukan kesilapan dalam babak pertama dan saya tidak mahu memperbesarkannya."

Omnisports percaya pihak FA telah meminta Klopp agar memberikan pemerhatian bertulis susulan kenyataannya.

Pengurus dibenarkan untuk bercakap tentang pengadil selepas perlawanan tanpa memihak kepada sesiapa, menuntut ketelusan atau apa-apa yang ofensif.

Keputusan seri meletakkan Liverpool tiga mata mengatasi Manchester City di puncak liga tatkala skuad bimbingan Pep Guardiola itu bersedia merampas kedudukan teratas jika menewaskan Everton awal pagi esok.