Sadio Mane dibawa keluar ketika Liverpool menundukkan Chelsea 2-1 di Stamford Bridge, lewat malam tadi dan Jurgen Klopp mengesahkan ia ekoran kombinasi kecederaan lutut dan kepenatan.

Mane digantikan oleh James Milner selepas N'Golo Kante merapatkan jurang buat The Blues menerusi kawalan bola dan penyudah mantap pada minit ke-71.

Liverpool, yang mendahului 2-0 sebelum rehat menerusi jaringan Trent Alexander-Arnold dan Roberto Firmino, melepasi cabaran getir daripada anak buah Frank Lampard itu yang memburu gol penyamaan.

Klopp memberitahu Sky Sports bahawa Mane dalam keadaan baik selepas wisel penamat sebelum menjelaskan faktor dia membawa penggempur itu keluar.

"Ia melibatkan hentakan pada bahagian lutut dan kepenatan," katanya.

"Ia satu kombinasi yang tidak baik. Dia mencuba segalanya. Saya fikir anda boleh lihat situasi di mana Mane sangat penat. Dia menerima bola tetapi tiada peluang.

"Kemudian, kami membuat keputusan untuk melakukannya dan mengubah."

Liverpool akan kembali beraksi Rabu ini menentang MK Dons dalam saingan Piala EFL. Perlawanan seterusnya dalam Liga Perdana Inggeris menyaksikan mereka bakal bertandang ke Sheffield United, tiga hari kemudian.