LIVERPOOL 2 SPURS 1

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berterima kasih kepada penyokong di Anfield kerana menjadi inspirasi kemenangan 2-1 ke atas Tottenham semalam, sekaligus melonjakkan semula mereka ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).


The Reds kembali mendahului carta EPL dengan dua mata hasil jaringan sendiri Toby Alderweireld pada minit ke-90 ketika cuba mengeluarkan bola tandukan Mohamed Salah.

Klopp kagum dengan penyokong di Anfield selepas mereka dikecewakan oleh gol Lucas Moura yang menafikan jaringan pembukaan Roberto Firmino.

Pengurus dari Jerman itu turut berpandangan keazaman Liverpool untuk menang akan menjadi faktor utama jika mereka berjaya mengakhiri kemarau 29 tahun untuk bergelar juara England musim ini.

"Kita semua adalah manusia. Kami memulakan misi ini sembilan bulan yang lalu, perjalanan ini dan mahu mengejar dua kejohanan utama. Kami melakukannya dengan cara kami. Pemain-pemain telah mempamerkan peningkatan," katanya.

"Sebelum ini, kami perlu mencari jalan untuk memenangi perlawanan. Tetapi kami sudah mula memberikan persembahan yang berkualiti.

"Pemain-pemain telah bekerja keras dan jika kami berada di puncak selepas berakhir saingan EPL musim ini, keazaman pasukan menjadi faktor kejayaan Liverpool.

"Ketika perlawanan terikat 1-1, penonton telah memberikan segala-galanya untuk pasukan ini. Ketika kami dibolosi, mereka terus memberikan sokongan dan yakin dengan kebolehan pasukan untuk mencari gol kemenangan."

City akan berdepan Cardiff City di laman sendiri Rabu ini sebelum Liverpool bertandang ke Stadium St Mary untuk bertemu Southampton.

Klopp mahu pemain-pemain mengekalkan momentum yang sama sementara berwaspada dengan ancaman The Saints itu.

"Momentum bukan kebetulan. Ia adalah sesuatu yang diusahakan dan digunakan dengan baik mungkin.

"Kami akan bertemu Southampton, mereka berada dalam prestasi yang baik. Kami akan cuba mencari kemenangan dalam perlawanan itu."