Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menganggap reaksi luar biasa yang diterima susulan kemerosotan pasukannya merupakan sesuatu yang sudah dijangka sambil menggesa barisan pemainnya untuk beraksi lebih agresif dan bangkit dengan prestasi terbaik.

Dua keputusan seri berturut-turut dengan Leicester City dan West Ham United membolehkan Manchester City memintas kedudukan mereka selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Everton kelmarin.

Liverpool mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan , namun kehilangan mata kepada pasukan pertengahan liga membuka persoalan sama ada mereka mampu untuk menghadapi tekanan menjelang perlawanan di laman sendiri.

The Reds akan melayani kunjungan Bournemouth malam ini -- 24 jam sebelum pertemuan City dengan Chelsea -- dan Klopp mengakui ia adalah kewajipan buat pemainnya untuk menunjukkan kesungguhan dalam perlawanan itu.

"Ia adalah normal," kata Klopp mengenai keputusan seri dengan West Ham.

"Ia sudah dijangka dan jika anda mahu kedudukan teratas dalam liga dan memenangi kejuaraan di penghujung musim, anda perlu berdepan dengan situasi itu.

"Situasi lebih buruk mungkin akan tiba dan anda memerlukan semangat dan keinginan sebenar untuk bersaing.

"Anda tidak boleh lari daripada situasi itu, anda perlu melaluinya.

"Saya mendapat mesej minggu ini, satu lagi petanda bahawa mereka berfikir saya memerlukan bantuan. Saya tidak memerlukan bantuan, terima kasih banyak, saya baik-baik saja!

"Dalam 11 perlawanan terakhir, City terlepas 12 mata dan kami hanya tujuh.

"Saya tidak tahu perkara itu.

"Adakah ia menarik minat saya?

"Tidak terlalu menarik, namun pandangan daripada pihak luar amat berbeza.

"City juga pernah tewas kepada tiga pasukan di bawah kelompok enam terbaik, kami hanya seri dua kali.

"Ia merupakan dunia di luar sana dan kami hidup dalam dunia itu.

"Saya tahu setiap orang berhadapan dengan perkara seperti itu, pemain kami juga begitu.

"Apa yang perlu kami lihat kembali dalam situasi ini adalah bola sepak, semangat, perjuangan yang tepat dan beraksi agresif dengan cara yang betul.

"Kami perlu tabah dan melaluinya," katanya.

Liverpool akan memanfaatkkan tempoh 10 hari di antara perlawanan menentang Bournemouth dan perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich untuk menjalani kem latihan musim panas di Sepanyol.

Klopp, bagaimanapun, menolak dakwaan bahawa kunjungan ke luar negara itu dilakukan bagi mengelak perhatian media.

"Kami akan ke sana untuk beberapa hari bagi memberikan tumpuan kepada latihan.

"Kami tidak perlu membazirkan masa di antara setiap sesi dan dapat menikmati pemandangan yang berbeza.

"Ia sentiasa memberikan pulangan yang berbaloi sepanjang saya bergelar pengurus.

"Ia akan membuatkan kami memberikan fokus 100 peratus terhadap latihan.

"Kami tetap akan melakukannya walaupun kami memiliki kelebihan 10 mata.

"Kami melakukannya kerana kami mempunyai masa.

"Ia sesuai untuk diadakan kerana kami akan beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah seminggu kemudian," tambahnya.