MANCHESTER UNITED 1 INTER MILAN 0

Ole Gunnar Solskjaer berkata dia kagum dengan prestasi Manchester United tanpa Romelu Lukaku yang masih cedera.


Pemain kebangsaan Belgium itu masih belum diturunkan dalam sebarang perlawanan pra-musim, dengan Solskjaer mendedahkan ia berpunca daripada masalah kecergasan yang masih membelenggu penyerang itu.

Lukaku tidak beraksi ketika United menewaskan Inter Milan 1-0 dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, malam tadi, dengan terdapat laporan menjelang sepak mula perlawanan itu yang mendakwa usaha lawan daripada Serie A berkenaan melakukan bidaan £54 juta (RM277.4 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu telah ditolak United.

Penyerang muda, Mason Greenwood, menjaringkan gol gemilang ke atas skuad kendalian Antonio Conte itu dan Solskjaer berpuas hati dengan persediaan pasukannya sebelum memulakan musim 2019-20.

"Saya fikir kami telah melakukannya dengan amat baik tanpa Romelu, namun kita sedia maklum dia merupakan antara penyerang terbaik dunia," katanya dalam sidang media.

"Kami bermain dengan cara yang berbeza, mungkin dengan Anthony (Martial), Marcus (Rashdford) dan Mason.

"Sebagai jurulatih, anda perlu menyesuaikan keadaan dengan pemain yang ada.

"Kami bersedia untuk menghadapi Tottenham Hotspur (Khamis ini) dan akan lihat siapa yang dapat diturunkan dalam perlawanan itu," katanya.

Solskjaer tidak dapat memberi gambaran tentang tempoh yang diperlukan Lukaku untuk kembali cergas sambil berkata penyerang itu perlu berasa risau kerana sudah lama tidak diturunkan.

"Jika anda seorang pemain dan tidak dapat menyertai latihan selama seminggu, dan dia kini telah terlepas tiga perlawanan, saya fikir dia perlu berasa risau.

"Dia berusaha untuk kembali ke padang dan kita akan lihat berapa lama tempoh yang diperlukannya," tambah pengurus itu lagi.