Kerja keras, bukannya berbelanja besar kunci Sarri di Chelsea

Oleh Staff Writer 8 Disember 2018 309
Kerja keras, bukannya berbelanja besar kunci Sarri di Chelsea
Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, menegaskan perbelanjaan besar ke atas pemain tidak menjamin kejayaan sambil beliau berhasrat memberi tumpuan untuk mengubah mentaliti di Stamford Bridge, bukannya merekrut pemain baru bulan depan.

Selepas membuat permulaan cemerlang di bawah pengurus dari Itali tersebut, The Blues hanya merakamkan satu kemenangan daripada empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang terakhir, satu situasi yang membimbangkan sebelum mereka melayani kunjungan pasukan di tangga teratas, Manchester City, awal pagi nanti. 

Pep Guardiola turut mengalami nasib yang sama pada musim pertamanya di England tetapi pelaburan besar dalam skuad bimbingan sebelum kempen 2017-18 membantu mereka merebut gelaran.

Sarri tidak menentang langkah Chelsea yang menandatangani pemain kerana ia mengukuhkan lagi pasukan itu tetapi berasakan tidak semestinya memerlukan rombakan besar untuk mendekatkan jurang dengan City.

"Tidak semestinya (berbelanja mewah). Kami perlu bekerja, perbaiki dan memahami gaya permainan," katanya kepada media.

"Kami perlu mengubah mentaliti tetapi bukanlah bermaksud mentaliti lama tidak baik tetapi ia tidak sesuai dengan corak permainan terbaru kami. 

"Kemudian, anda mungkin memerlukan pemain tertentu. Oleh itu, pasaran pemain sangat penting apabila anda memahami bahawa anda hanya perlu seorang pemain dalam posisi khusus untuk mengubah rentak pasukan.

"Namun, anda tidak boleh fikir bahawa anda boleh membeli 11 pemain baru tanpa berdepan masalah. Jika anda melakukannya, masalahnya akan sama.

"Anda perlu menerapkan mentaliti baru dan gaya permainan baru. Kami perlu memperbaiki permainan, kami perlu mencapai 95 peratus potensi kami, maka dengan itu barulah kami mendapatkan lima peratus terakhir itu menerusi muka baru, bukannya dengan 11 pemain baru."

Apabila ditanya mengenai posisi tertentu yang perlu diperkasakan, Sarri menjawab: "Saya tidak tahu. Lambat-laun, saya akan memaklumkannya kepada anda.

"Tetapi, sebelum itu kami perlu mengetahui peningkatan setiap pemain dalam pasukan. Selepas itu, barulah saya boleh boleh mengesan posisi yang tepat buat seseorang pemain dalam usaha mengubah pasukan."

Sarri sempat berbincang dengan Guardiola pada Jun lalu dan mendedahkan bagaimana pengurus Sepanyol itu mencadangkan kepadanya bahawa dia harus memberi tumpuan kepada sekumpulan pemain pilihan di Chelsea yang dirasakan mempunyai masa depan jangka panjang di kelab itu.

"Dia memberitahu saya bahawa musim pertamanya di England sangat sukar," kata bekas pengendali Napoli itu.

"Baginya, mustahil untuk memperbaiki seramai 20 pemain dalam musim sulung. 

"Dia berpesan supaya saya hanya perlu menumpukan kepada 14 pemain dalam musim pertama kerana jika tidak, saya akan menghadapi masalah. 

"Kami memerlukan banyak masa untuk memperbaiki keseluruhan skuad, ia sangat sukar."


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen