Kepulangan Anthony Martial telah memainkan peranan utama dalam peningkatan prestasi Manchester United, kata rakan sepasukannya, Daniel James.

Penggempur Perancis, Martial, terlepas aksi selama dua bulan akibat kecederaan paha sebelum masuk selaku pemain gantian ketika mengikat Liverpool 1-1, 20 Oktober lalu.

Sejak itu, skuad The Red Devils itu menang lima daripada enam perlawanan tatkala kekalahan 1-0 di tangan Bournemouth menjadi satu-satunya aksi yang merencatkan persembahan cemerlang itu.

Martial, James dan Marcus Rashford berada dalam prestasi terbaik sewaktu mengetepikan cabaran Brighton and Hove Albion 3-1 kelmarin, sekali gus meletakkan United di tangga ketujuh liga sebelum tempoh rehat antarabangsa.

James, yang memasuki usia 22 tahun kelmarin, percaya pengaruh Martial menjadi peranan utama dalam peningkatan pasukan mereka ketika ini.

"Sejak dia kembali, kami mengutip mata penting," katanya.

"Dia seorang pemain yang bagus. Dia boleh melakukan hantaran pendek serta datang dari belakang. Penting buat saya dan Rashford sejak dia kembali untuk mencipta gandingan.

"Sejak dia kembali, dia mencipta gol serta bantuan jaringan. Dia sangat hebat buat kami."

James tiba daripada kelab Liga Kejuaraan, Swansea City, menerusi perpindahan bernilai GBP15 juta (RM79 juta), Jun lalu dan telah memainkan peranan penting dalam pasukan selepas tampil dalam kesemuan 12 aksi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Pemain sayap Wales itu mengakui dia tidak menjangkakan akan meraih peluang beraksi sebegitu tetapi bertekad untuk menggunakan kesempatan yang diberi.

"Menyertai pasukan baru sentiasa sukar dan ia menjadi cabaran berbeza berbanding dalam Liga Kejuaraan," tambahnya.

"Saya fikir telah menghadapinya dengan cara saya, cuba untuk tenangkan diri dan berfikir bahawa saya ke sini bersebab.

"Di permulaan musim, mungkin saya tidak fikir akan beraksi secara kerap. Saya belajar dalam setiap perlawanan dan diberikan kepercayaan. Saya menikmatinya."