Toby Alderweireld menjelaskan bahawa dia terbuka terhadap kemungkinan kekal di Tottenham Hotspur walaupun berita mengaitkannya dengan perpindahan.

Pemain antarabangsa Belgium itu hanya tampil 14 kali dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu ekoran dibelenggu kecederaan hamstring dan paha selain masa depan yang tidak menentu.

Alderweireld mempunyai dua tahun lagi baki kontraknya, namun kerap dikaitkan dengan Manchester United.

Pasukan asuhan Jose Mourinho itu dikatakan sudah menyatakan minat mereka meskipun pemain itu menegaskan tidak tergesa-gesa untuk meninggalkan Spurs.

Apabila ditanya kemungkinan kekal di Spurs, Alderweireld memberitahu pemberita: "Ya, mengapa tidak? Kontrak saya masih berbaki dua tahun lagi, saya tidak tahu apa yang akan berlaku."

Pemain berusia 29 tahun itu kini menumpukan perhatiannya terhadap tugasan antarabangsa bersama Belgium dalam Piala Dunia Russia dan akan berdepan England.

Justeru, Alderweireld melabelkan England kali ini memiliki aura yang lebih baik di sekitar mereka.

"Saya berada dalam EPL selama empat tahun dan ada sesuatu yang berbeza dengan pasukan England sekarang," tambah Alderweireld. "Mereka adalah pemain muda yang memiliki keinginan tinggi.

"Wujud gelombang baru. Mereka mempunyai pemain yang hebat, bukan hanya bintang tetapi pemain yang ingin menjadi lebih baik.

"Saya fikir mereka akan mengharungi Piala Dunia yang sangat baik, England boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahukan.

"Saya mengenali ramai pemain England, mereka mempunyai mentaliti yang betul untuk pergi jauh, mereka mempunyai kualiti dan keinginan, pemain dengan sikap yang baik."