Kemenangan Piala Super UEFA penting -- Van Dijk

Oleh Staff Writer 16 Ogos 2019 187
Kemenangan Piala Super UEFA penting -- Van Dijk
Virgil Van Dijk menegaskan pentingnya kemenangan Liverpool ke atas Chelsea dalam aksi Piala Super UEFA.

Juara Eropah itu mengesahkan trofi susulan kemenangan 5-4 dalam aksi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan Liga Perdana Inggeris itu terikat 2-2 di Istanbul, awal pagi semalam.

Impak daripada kemenangan itu menjadi persoalan tetapi Van Dijk berkata kejayaan menjulang trofi sangat penting dalam perkembangan Liverpool.

"Ia sangat penting," kata pertahanan itu kepada The Mirror.

"Saya fikir ia memang penting demi perkembangan pasukan serta pembangunan. Meraih trofi sangat penting untuk mentaliti anda. Kami melakukannya."

Sadio Mane memadamkan jaringan pendahuluan Olivier Giroud sebelum dia sekali lagi meledakkan gol untuk meletakkan Liverpool di depan, namun sepakan penalti Jorginho mengikat kedudukan sehingga tamat waktu permainan sebenar.

Penjaga gol, Adrian, yang melalui penampilan pertama dalam kesebelasan utama muncul wira apabila menafikan tendangan Tammy Abraham untuk memastikan kemenangan buat pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu.

"Ia memang satu impian, mahu menjulang banyak trofi," tambah Van Dijk. 

"Saya fikir sebelum datang ke sini, saya menetapkan sasaran dan ini adalah sebahagian daripadanya. Memenangi trofi adalah sebahagian daripada keputusan saya.

"Anda menggunakan kesempatan yang ada untuk menjulang trofi. Ia sentiasa menjadi sasaran dan ia jadi lebih mudah apabila sudah memenanginya.

"Kami patut menjadikannya lebih mudah, tampil lebih baik dalam babak kedua tetapi kemenangan di penghujung permainan paling penting. Bagus untuk memiliki mentaliti sebegitu."

Liverpool kini memburu kemenangan kedua saingan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila berkunjung ke Southampton, esok.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen