BRIGHTON 0 LIVERPOOL 1

Jurgen Klopp berasakan kematangan dalam permainan membantu Liverpool kembali melakar kemenangan selepas mengatasi Brighton and Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Brighton berjaya menyerap tekanan yang diberikan Liverpool hingga tamat separuh masa pertama, dengan Liverpool mencari jalan untuk bangkit selepas tewas kepada Manchester City dan tersingkir daripada Piala FA kepada Wolverhampton.

Mohamed Salah muncul peledak jaringan dalam memastikan kemenangan 1-0 menerusi sepakan penalti.

"Ia merupakan kemenangan yang sukar untuk diraih. Perlawanan yang benar-benar menguji kami," kata Klopp. "Semua orang mengetahui kesukaran untuk berkunjung ke Brighton.

"Anda perlu benar-benar kreatif berdepan pasukan yang sangat berdisiplin dengan setiap pemain menunggu waktu terbaik untuk melancarkan serangan balas.

"Ia merupakan persembahan yang matang dipamerkan oleh Liverpool. Ia merupakan kemahiran baru diraih pasukan dan kami perlu terus melakukannya.

"Separuh masa kedua lebih memihak kepada pasukan. Kami memperbaiki kesilapan daripada separuh masa pertama dan melakar kemenangan," tambahnya.

Klopp menegaskan kemenangan itu akan memberi tekanan kepada City dan Tottenham yang membuat persiapan untuk berdepan Wolves dan Manchester United.

"Kami perlu mengutamakan persembahan pasukan dan perlu menang. Ia membantu pasukan ketika lawan kami berada dalam keadaan yang tertekan untuk terus mengejar Liverpool."

Pascal Gross menjatuhkan Salah untuk diberikan sepakan penalti tetapi muncul pemain yang paling hampir menyamakan kedudukan dan pengurus pasukan, Chris Hughton, berasakan pasukannya berhak untuk berkongsi mata dalam perlawanan ini.

"Kami telah cuba mengurangkan kesilapan, Gross hampir menyamakan kedudukan buat kami.

"Kami berhak berkongsi mata selepas apa yang dipamerkan dalam perlawanan ini."