LIVERPOOL 4 NORWICH CITY 1

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, melabel Norwich City sebagai "terlalu licik" dan menjangkakan pasukan itu akan mendatangkan masalah buat banyak pasukan dalam Liga Perdana Inggeris.


Walaupun tewas 1-4 dalam perlawanan pembukaan musim di Anfield awal pagi tadi, skuad kendalian Daniel Farke itu memaparkan aksi meyakinkan dalam perlawanan pertama sejak memenangi Liga Kejuaraan musim lalu.

Teemu Pukki dan Marco Stiepermann terlepas peluang dalam babak pertama dan kegagalan itu mengakibatkan mereka dihukum oleh Liverpool apabila Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Divock Origi menambah derita pelawat itu selepas Grant Hanley terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ketujuh.

Norwich enggan mengalah dan memperoleh satu gol apabila Pukki menghasilkan penyudah tenang untuk menewaskan penjaga gol gantian The Reds, Adrian -- yang dimasukkan dalam babak pertama bagi menggantikan Alisson yang tercedera -- pada minit ke-64.

"Kebanyakan waktu dalam perlawanan itu berlangsung baik. 60 minit pertama amat hebat. Jika anda terkejut apabila Norwich pada satu ketika memberikan ancaman, saya tidak. Mereka memang seperti itu," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Sepanjang 60 minit, kami melakukan apa yang perlu kami lakukan.

"Kami mungkin boleh menjaringkan lebih banyak gol, terutama selepas waktu rehat.

"Mungkin selepas itu pihak lawan mencuri sedikit tumpuan memandangkan mereka tidak terlalu kisah dengan keputusan perlawanan.

"Mereka tetap licik, mereka beraksi baik, mereka melakukan apa yang mereka mahu lakukan, mereka berubah kepada corak menyerang.

"Saya amat menghormati apa yang Daniel lakukan dengan pemainnya.

"Mereka adalah pasukan yang amat menarik dan mengujakan.

"Mereka mempunyai formasi yang berisiko dan mereka menggunakannya, namun kami tidak berada dalam keadaan bahaya, mereka hanya beraksi baik dalam beberapa waktu.

"Kami berdepan lawan yang akan mendatangkan masalah kepada banyak pasukan.

"Dengan cara mereka bermain, mereka amat bagus.

"Mereka terlalu licik dan akan melakukan apa yang mereka mahukan tanpa menghiraukan apa yang sedang berlaku.

"Mereka mendatangkan masalah kepada kami pada sesetengah waktu, namun saya langsung tidak terkejut.

"Ia amat normal," katanya.