CHELSEA 1 HUDDERSFIELD 1

Antonio Conte berasakan kelayakan ke saingan Liga Juara-Juara (UCL) jauh meninggalkan Chelsea selepas mereka seri 1-1 dengan Huddersfield Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Jaringan Marcos Alonso menafikan gol pembukaan Laurent Depoitre di Stamford Bridge tetapi Chelsea gagal mencari jalan untuk menembusi Jonas Lossl dalam mencari gol kemenangan.

Chelsea kini menghuni tangga kelima, dengan juara musim lalu itu berharap Liverpool tewas kepada Brighton and Hove Albion pada Ahad ini dengan harapan mencerahkan peluang menjelang aksi terakhir berdepan Newcastle United.

Conte yang merehatkan Eden Hazard dan tanpa penjaga gol, Thibaut Courtois, kerana masalah kecederaan, menerima hakikat saingan dalam kelompok empat terbaik sukar buat Chelsea.

"Kedudukan ini kini di luar kawalan Chelsea," kata Conte.

"Kami akan terus cuba melakukan yang terbaik.

"Sukar untuk menjelaskan ketika anda seri dalam perlawanan yang dikawal pasukan dan menghasilkan banyak peluang. Tetapi kami perlu menerima keputusan ini."