Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mencabar Liga Perdana Inggeris agar memberi lebih bantuan buat kelab England dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Bercakap mengenai aksi kedua pusingan 16 di Borussia Dortmund di mana Spurs memegang kelebihan 3-0 hasil daripada pertemuan pertama, Pochettino meluahkan kekecewaan selepas kelab Bundesliga itu dibenarkan untuk melalui aksi domestik menentang Augsburg pada Jumaat lalu.

Sebaliknya, Spurs berdepan Arsenal dalam pertemuan setempat utara London yang berakhir 1-1, Sabtu lalu -- dan dalam kenyataan mengingatkan kembali rungutan daripada Arsene Wenger dan Jose Mourinho -- Pochettino melihat keengganan pihak penganjur liga untuk memberi keseimbangan kepada jadual menyebabkan pasukannya tidak meraih sebarang kelebihan.

"Jika anda beraksi pada Sabtu dan Selasa, bagaimana anda mempersiapkan diri? Satu-satunya cara adalah bercakap dan bukan latihan," kata Pochettino.

"Dortmund meraih lebih banyak masa untuk mempersiapkan diri sebelum aksi pertama. Kini, ia tetap sama. Mereka beraksi pada Jumaat tetapi kami pada Sabtu.

"Melihat kepada situasi sama, kedua-dua pasukan sepatutnya beraksi sama ada Jumaat atau Sabtu. Tempoh 24 jam memberi perbezaan untuk melakukan persiapan.

"Kami perlukan bantuan daripada Persatuan Bolasepak England (FA) serta Liga Perdana Inggeris.

"Saya tidak tahu siapa yang patut dipersalahkan. Pihak FA, Liga Perdana Inggeris atau Spus? Jika ia boleh dilakukan, kami tidak akan mengubah jadual.

"Atau mungkin pihak televisyen yang mahu kami bersiaran langsung pada Sabtu dan Ahad?

"Saya rasa di Eropah orang ramai lebih sensitif untuk membantu pasukan mereka bersaing di peringkat lebih tinggi. Itu yang saya cuba sampaikan."