Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, mengesahkan Naby Keita bakal terlepas kunjungan ke Huddersfield Town tetapi masih menunggu untuk menurunkan Sadio Mane, awal pagi esok.

Keita mengalami kesakitan di bahagian paha ketika mewakili Guinea tatkala masalah kecederaan melanda Liverpool ketika saingan antarabangsa.

Mohamed Salah dan Virgil Van Dijk menunjukkan tanda positif berkenaan isu kecergasan apabila menyertai sesi latihan kelmarin tetapi Mane masih tidak turun selepas menjalani pembedahan tangan.

Klopp masih belum membuat keputusan sama ada peledak berusia 26 tahun itu akan turun menentang Huddersfield yang masih gagal mencatat kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

"Beberapa pemain telah berlatih dan kami melihat reaksi mereka," kata Klopp.

"Apa yang pasti, Keita tidak akan beraksi tetapi untuk pemain lain, kami akan melihat perkembangan mereka," ujarnya.

Benteng Belanda, Van Dijk, akan dipantau sepenuhnya dalam aksi berdepan Huddersfield selepas Ronaldo Koeman mendakwa bekas tonggak Celtic itu mengalami kecederaan patah dua tulang rusuk.

Bagaimanapun, Klopp menolak sebarang khabar angin dan yakin bek tengah itu sedia untuk beraksi.

"Anda lihat sewaktu dia keluar dalam aksi bertemu Southampton. Van Dijk tidak akan meninggalkan padang tanpa masalah serius," tambah Klopp.

"Saya boleh katakan dia sembuh dengan pantas. Pemain bola sepak sering beraksi dalam kesakitan dan Van Dijk tiada masalah dengannya."

Sementara itu, pemain tengah The Reds, Fabinho, semakin hampir untuk melakukan penampilan sulung dalam Liga Perdana Inggeeris selepas gagal menarik perhatian Klopp sejak tiba daripada Monaco.

"Hanya satu sebab mengapa dia tidak beraksi. Ia disebabkan pemain lain lebih cergas," ujar Klopp.

"Saya benar-benar fikirkan pemain yang akan beraksi di posisi itu. Pemain baru akan memerlukan masa untuk menutup jurang."