Pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk, mengalami lebam pada bahagian rusuk tetapi pengendali pasukan, Jurgen Klopp, percaya kecederaan itu tidak serius.

Van Dijk mengalami kecederaan itu dalam babak kedua sewaktu menundukkan Southampton 3-0 di Anfield, lewat malam semalam.

Pemain skuad kebangsaan Belanda itu, yang merupakan pertahanan termahal dunia sewaktu hadir ke Liverpool daripada Southampton, terpaksa digantikan pada minit ke-55.

Joe Gomez masuk menggantikan Van Dijk tetapi Klopp percaya ia tidak melibatkan sebarang masalah yang besar.

"Van Dijk telah mengalami lebam pada tulang rusuk sebelum berdepan Paris Saint-Germain (PSG). Ia membuatkannya tidak selesa dan hari ini menerima hentakan di bahagian sama," ujar Klopp.

"Ia tidak bagus tetapi dilihat tidak begitu serius. Diharapkan segalanya menjadi baik. Saya tidak mendengar sebarang perkhabaran yang berbeza."

Liverpool kini dua mata mengatasi juara bertahan, Manchester City, selepas memenangi kesemua enam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama.