Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata Dejan Lovren telah ditimpa kecederaan otot yang lebih serius berbanding sebelum ini sambil menambah dia tidak dapat menetapkan berapa lamakah tempoh masa untuknya kembali pulih.

Lovren dikeluarkan selepas 53 minit permainan ketika menundukkan Salzburg 2-0 dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu, selain hanya sempat mengharungi aksi selama 40 minit ketika menang 3-0 ke atas Bournemouth dalam aksi Liga Perdana hujung minggu lalu.

Pertahanan itu bakal terlepas pertemuan dengan Watford di Anfield malam ini dan Klopp mengakui dia tidak pasti bilakah pemain berusia 30 tahun berkenaan dapat kembali.

"Dia tersisih, kali ini akibat masalah otot -- ia lebih serius daripada yang kali terakhir," kata Klopp kepada pemberita semalam. "Kami tidak mempunyai tempoh masa tertentu."

Joel Matip pula diketepikan berikutan kecederaan lutut, justeru Klopp hanya mempunyai Virgil van Dijk dan Joe Gomez sebagai pilihan utama di celah-celah jadual perlawanan yang padat.

Selepas perlawanan dengan Watford, pasukan yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemain muda dan jarang beraksi akan menghadapi Aston Villa dalam kempen Piala Liga Inggeris (EFL) Rabu depan manakala barisan pemain yang lain akan terbabit dalam misi separuh akhir Piala Dunia Kelab, 24 jam kemudian.

Mereka juga akan menentang pasukan di tangga kedua, Leicester City, dan Wolves sebelum hujung tahun ini, dengan Klopp mengakui masalah di bahagian pertahanannya itu.

"Ia menjadi satu kebimbangan," katanya. "Bukan kali pertama kami berada dalam keadaan seperti ini. Tahun lalu, Fabinho pernah dimasukkan di pertengahan perlawanan. Malangnya, dia juga terpaksa dikeluarkan.

"Pada masa ini, kami hanya mempunyai dua tonggak -- kami perlu menjaga mereka, bungkus mereka dalam kapas dan bertanyakan kepada mereka mengenai apakah yang mereka mahu lakukan dalam latihan.

"Selain daripada itu, kami perlu kreatif, kami mempunyai pemain-pemain muda seperti Ki-Jana Hoever dan Sepp van den Berg.

"Kami mempunyai pemain tengah menjurus kepada bertahan, ada sistem yang berbeza untuk kami gunakan jenis pertahanan yang berbeza.

"Buat masa ini, saya mempunyai banyak idea tetapi secara jujurnya, saya harap kebanyakannya tidak perlu digunakan."

Klopp, yang menandatangani kontrak baru semalam untuk kekal sehingga 2024, berharap untuk meraih kemenangan ke-16 daripada 17 perlawanan liga musim ini apabila bakal berhitung dengan Watford dalam usaha Liverpool mengekalkan kelebihan lapan mata di puncak.