Kecederaan Kane buat Pochettino pening  

Oleh Staff Writer 12 Mac 2018 2250
Kecederaan Kane buat Pochettino pening  
Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mengakui bahawa dirinya tidak senang duduk memikirkan kecederaan buku lali yang dialami penyerang utama, Harry Kane.
 
Spurs menundukkan Bournemouth 4-1 awal pagi tadi tetapi penyerang England itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-34 selepas berlaga dengan penjaga gol, Asmir Begovic, ketika cuba bersaing untuk mendapatkan bola hantaran lintang Christian Eriksen.
 
Ketika itu, Spurs sedang ketinggalan selepas Junior Stanislas membuka tirai jaringan, namun seluruh pasukan dapat mengimbangi kekuatan untuk bangkit tanpa khidmat Kane.
 
Satu gol daripada Dele Alli dan Serge Aurier serta dua jaringan Son Heung-Min cukup untuk membenam cabaran lawan, sekali gus mengubati kekecewaan gagal ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah setelah tunduk di tangan Juventus, minggu lalu.
 
Pihak kelab sedang menanti laporan daripada pasukan perubatan mengenai status Kane.
 
“Saya memikirkan tentang Kane. Sehingga esok, tiada apa yang dapat kami sahkan.
 
“Saya berharap agar ia tidak melibatkan masalah besar dan dia dapat kembali membantu pasukan mengharungi baki saingan musim ini,” kata Pochettino.
 
Menentang The Cherries, Son mencatat jaringan peribadinya yang ke-11 dan 12 dalam saingan liga musim ini dan prestasi cemerlang itu dilihat mampu menampung ketiadaan Kane buat sementara.
 
“Saya rasa dia melalui kempen yang menakjubkan, iaitu musim terbaik sejak tiba di sini. Dia membantu pasukan meraih tiga mata. Saya sangat gembira dan teruja dengan prestasi yang ditampilkannya,” ujarnya lagi.
 
 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen