Ole Gunnar Solskjaer perlu diberikan lebih masa untuk membetulkan keadaan di Manchester United, kata legenda kelab itu, Roy Keane.

United terikat 1-1 dengan Arsenal di laman sendiri awal pagi tadi, yang menyaksikan mereka berdepan rekod permulaan terburuk sepanjang era Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dengan hanya mengumpul sembilan mata daripada tujuh perlawanan, United kini berada di tangga ke-10 dan hanya perbezaan jaringan memisahkan mereka dengan kelompok separuh terbawah liga.

Pasukan itu hanya meraih 49 mata daripada 28 perlawanan liga di bawah kendalian Solskjaer -- kurang dua mata berbanding 28 perlawanan terakhir di bawah kelolaan bekas pengurus, Jose Mourinho.

Keane berasakan tiada keraguan mengenai pemilihan Solskjaer untuk mengubati situasi di Old Trafford pada ketika ini.

"Saya fikir dia amat bijak, seorang yang jujur dan baik," katanya kepada Sky Sports.

"Ia tugas yang sukar buat masa ini, namun terdapat enam atau tujuh pemain muda yang sedang belajar.

"Kita semua tidak sabar, kita mahukan kejayaan semalam, namun anda perlu memberikannya masa.

"Dia sedang kecewa, tertekan, namun sedang menanganinya.

"Dia seorang yang ada kelas tetapi tidak syak lagi, dia pasti kecewa kerana tidak memenangi banyak perlawanan.

"Mereka memberikannya tugas itu, menyokongnya dalam jendela perpindahan.

"Adakah hari-hari akan datang akan lebih mencabar? Anda mempertaruhkan hidup anda, namun anda perlu kekal yakin dengannya.

"Kedua-dua pasukan tidak beraksi baik malam ini.

"Mereka kekurangan gol, kekurangan peluang yang dicipta.

"Beri pemain-pemain ini masa," katanya.

Arsenal kembali ke tangga keempat Liga Perana tetapi Keane tidak yakin pasukan itu akan kembali ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Ditanya pasukan mana yang lebih berpeluang untuk kembali ke saingan elit Eropah itu, Keane menjawab: "Berdasarkan persembahan malam ini, tiada antara mereka yang akan menamatkan musim dalam kelompok empat teratas."