Kakitangan kejurulatihan Tottenham Hotspur cukup masak dengan keadaan ketua pasukan England, Harry Kane, menjelang tempoh sukar, menurut Mauricio Pochettino, yang menegaskan penyerang itu kekal sebagai salah seorang pemain terbaik Eropah.

Kane meledak 30 gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu sebelum meraih Kasut Emas Piala Dunia yang menyaksikan England mara ke separuh akhir temasya Russia 2018.

Bagaimanapun, dia gagal melakar sebarang gol dalam tiga aksi terakhir membabitkan The Three Lions dan sungguhpun menjaringkan gol kemenangan Spurs ke atas Fulham dan Manchester United, perkembangannya baru-baru ini bersama kelab dan negara menimbulkan kebimbangan mengenai keletihan yang mungkin dialami pemain berusia 25 tahun itu.

Bercakap dalam sidang berita menjelang pertembungan EPL menentang Liverpool esok sambil terlepas khidmat Hugo Lloris dan Dele Alli, Pochettino kekal menegaskan bahawa Kane dalam keadaan selamat.

"Saya menghormati semua pendapat dan semua orang ada pendapat masing-masing," katanya. "Ini musim kelima kami di Tottenham dan jika seseorang fikir benar-benar mengenalinya, saya fikir kamilah orangnya.

"Bukanlah bermakna kami sombong dan menunjukkan bahawa kami tidak menerima pendapat orang ramai. Sebaliknya, kami amat mengenali Harry Kane setelah bertahun-tahun lamanya kami bekerjasama.

"Kami sedar bahawa ia bukan satu situasi yang membimbangkan. Kami berada dalam keadaan yang terkawal, kami membuat keputusan dan kami cuba mendapatkan yang terbaik demi pemain dan sudah tentu pasukan."

Salah satu sebab Kane didapati bergelut ketika ini berkait rapat dengan kepulangannya daripada kecederaan pergelangan kaki pada April lalu yang dianggap terburu-buru.

Begitupun, Pochettino menegaskan bahawa beliau berpuas hati dengan sumbangan pemain yang mungkin menjadi mangsa standard tinggi yang telah ditetapkannya.

"Perkara paling penting di sini ialah keyakinan dan memiliki kepercayaan terhadapnya," kata Pochettino.

"Tidak ragu-ragu lagi bahawa dia merupakan salah seorang penyerang atau pemain terbaik di England dan Eropah. Masa yang akan menentukan dia akan menjaringkan gol dan menunjukkan kualiti sebenarnya.

"Tetapi, bagi saya, tentu saja saya tidak kecewa dengannya.

"Harry sangat berpengaruh dan semua orang mengharapkannya dalam setiap tindakan yang diambilnya untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

"Itulah sebabnya jangkaan dan perspektif terhadapnya berbeza dengan pemain lain."