Jurgen Klopp berkata Fabinho masih perlu menyesuaikan diri dengan gaya permainan Liverpool sebelum bersedia untuk diturunkan.

Pemain antarabangsa Brazil itu yang dipancing daripada AS Monaco, masih belum membuat penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Fabinho dimasukkan ketika Liverpool di ambang mengalahkan Paris Saint-Germain (PSG) pada penghujung perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu bagi menandakan kemunculan sulungnya buat kelab itu.

Pemain berusia 24 tahun itu berpeluang untuk membuktikan keupayaan dalam Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Chelsea, awal pagi esok, namun Klopp berpendapat masih banyak yang perlu dipelajari Fabinho.

"Tiada beza di antara dia dan pemain-pemain lain. Ia memang tidak rumit, dia hanya perlu membiasakan diri," kata Klopp kepada wartawan.

"Ia tentang kedudukan, tindak balas, ruang ketika bertahan untuk mengekang dan menggunakannya.

"Ia adalah satu kerjasama sepasukan dengan pendekatan tertentu. Ia memerlukan masa dan semuanya diperlukan ketika beraksi.

"Seperti yang saya katakan, pergerakan yang sangat terkenal di sini adalah Phil Coutinho. Dia bergerak di separuh sayap kiri, menyusup ke dalam dan membuat tendangan yang bagus! Untuk yang ini, anda memerlukan seseorang untuk menyokongnya di atas untuk sekurang-kurangnya seorang pertahanan lawan menjadi sibuk. Perkara seperti itu menjelaskannya.

"Tidak ada masa untuk mengatakan 'saya memberi anda ini atau itu' tetapi lambat-laun ia akan berlaku juga kerana permainan ini begitu cepat dan sengit, rentak itu perlu menjadi semula jadi. Mereka berada di sini atas apa yang mereka lakukan.

"Tiga atau lima minggu kedengarannya seperti tempoh yang panjang dalam bola sepak tetapi untuk memperbaiki sesuatu, anda boleh berikan masa selama setahun setengah untuk benar-benar membuat langkah seterusnya."

Chelsea buat kali pertamanya tercicir mata di bawah bimbingan Maurizio Sarri apabila seri 0-0 dengan West Ham di London, Ahad lalu.

Selepas perlawanan, Sarri mencadangkan ia akan mengambil masa selama setahun untuk Chelsea menyamai Liverpool dan Klopp bersetuju dengan penilaian pengurus berbangsa Itali itu.

"Benar, ia menuntut usaha yang lama," tambah Klopp. "Itulah sebabnya saya kagum dengan apa yang dilakukannya dalam tempoh yang singkat.

"Mereka sangat berjaya di bawah asuhan (Antonio) Conte, oleh itu perubahan drastik seperti itu sangat mengagumkan. Para pemain ini dapat mengamalkan falfasah permainannya, Jorginho memainkan pengaruh besar di bahagian tengah.

"Bagaimanapun, beliau jelas tidak memerlukan banyak masa seperti yang saya lakukan. Ia sangat mengagumkan atas apa yang dilakukannya setakat ini."