Mohamed Salah menyifatkan kejayaan meraih anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai sesuatu yang istimewa dalam musim pertamanya di Liverpool.

Salah meledak gol ke-32 dalam saingan EPL buat Liverpool ketika membenam Brighton and Hove Albion 4-0 di Anfield semalam untuk memastikan layak ke Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain kebangsaan Mesir itu menamatkan saingan dengan kelebihan dua gol ke atas penyerang Tottenham, Harry Kane, yang memenangi anugerah tersebut sejak dua musim lalu.

Salah, yang juga dinobat sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris dan Pemain Terbaik PFA bagi tahun ini, amat teruja di atas kejayaan terbarunya ini.

"Kejayaan ini amat istimewa," kata Salah.

"Saya meletakkan dalam fikiran saya untuk membantu pasukan memenangi perlawanan dan kami akan bersaing dalam UCL musim depan. Memenangi anugerah ini, saya sangat berbangga.

"Saya akan cuba meningkatkan mutu permainan setiap tahun. Ia amat istimewa kerana dapat memecahkan rekod di England," ujarnya.