Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mendedahkan bahawa penyerangnya, Harry Kane, langsung tidak berbincang mengenai situasinya bersama pasukan di masa akan datang walaupun wujud laporan bahawa dia telah berikrar untuk kekal bersama kelab London itu.

Kane telah dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid pada penghujung musim ini dan perkhabaran itu menjadi semakin hangat susulan kekalahan 1-2 Spurs di tangan Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis lalu.

Keputusan itu menyaksikan mereka kini hanya mempunyai Piala FA sebagai harapan untuk menjulang kejuaraan bagi musim ini sambil berdepan perebutan untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara bagi saingan 2018/19.

Bagaimanapun, Pochettino menyangkal laporan mengenai masa depan penyerang England itu menjelang perlawanan liga bertemu Bournemouth, esok.

“Khabar angin, saya harus menegaskan bahawa ia tidak mengganggu saya. Anda harus membiasakan diri dengan perkara sebegini.

“Apa yang penting adalah memastikannya tidak memberi kesan kepada pasukan dan ia juga tidak boleh mempengaruhi keputusan kami di masa akan datang. Anda hanya akan pening kepala untuk menjelaskannya kerana ia tidak akan membantu sesiapa sahaja,” ujar Pochettino.

“Kane sangat kecewa selepas perlawanan bertemu Juve. Anda rasa dia ada masa untuk berbincang dengan saya mengenai masa depannya? Ia mustahil kerana pemain-pemain hanya mahu menundukkan The Old Lady dan kini fokus untuk mendapatkan tiga mata esok.

“Situasi dalam carta liga memerlukan kami untuk mengambil berat serta meraih banyak mata bagi mendapatkan kedudukan empat terbaik.”

Dalam masa sama, Pochettino juga sedar bahawa wujud persaingan di antara Kane dan rakan sepasukan untuk memegang lilitan ketua pasukan England selepas dilaporkan bakal menjadi kapten TheThree Lions.

“Ia adalah keputusan Gareth Southgate (ketua jurulatih England). Saya tidak boleh mengulas lanjut tetapi Eric Dier juga memiliki kredibiliti untuk memakai lilitan itu.”