Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane, melaungkan keazaman untuk melakukan apa sahaja demi mempercepatkan proses pemulihannya selepas disahkan terpaksa berehat sehingga bulan depan.

Pihak Spurs mengesahkan bahawa kecederaan buku lali yang dialami penyerang England itu menjadi serius apabila ia melibatkan urat, sekali gus terlepas aksi sehingga April.

Kane yang kini menduduki tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 24 gol, berkongsi bersama Mohamed Salah dari Liverpool, menerima kecederaan itu susulan insiden berlaga dengan penjaga gol Bournemouth, Asmir Begovic.

Pertemuan di Wembley itu menyaksikan Spurs menang 4-1, namun terpaksa membayar harga mahal apabila Kane terpaksa dilupakan menjelang aksi suku akhir Piala FA menentang Swansea City, Sabtu ini, dan dia turut kempunan untuk menyarung jersi England bagi perlawanan persahabatan bertemu Belanda dan Itali.

“Kecewa apabila terlepas untuk beraksi sehingga bulan depan tetapi kecederaan adalah sebahagian daripada permainan.

“Saya akan melakukan apa sahaja yang mampu untuk kembali semula ke padang,” kata Kane menerusi laman Twitter.

Dia dijangka terlepas pertemuan getir bertemu Chelsea pada 1 April, menyertai seorang lagi tonggak utama skuad kendalian Mauricio Pochettino yang masih dalam proses pemulihan, Toby Alderweireld.

Pertahanan Belgium itu pantas memberikan sokongan buat rakan sepasukannya itu.

“Semoga cepat sembuh sahabat,” katanya.