Jurgen Klopp menafikan kelebihan lapan mata yang dimiliki Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris ketika ini menambahkan tekanan buat The Reds yang masih belum tewas setakat ini.

Liverpool mempamerkan aksi memukau ketika menewaskan Manchester City 3-1 di Anfield awal pagi tadi setelah Fabinho, Mohamed Salah dan Sadio Mane masing-masing menyumbat jaringan.

Skuad kendalian Pep Guardiola, City, kini ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool sambil Chelsea dan Leicester City dibezakan lapan mata dengan The Reds.

Situasi itu membuatkan beberapa pemerhati bola sepak berpendapat ia mampu menjadi faktor kepada kekecewaan Liverpool.

Klopp tidak selesa dengan dakwaan tersebut dan menegaskan pasukan kendaliannya itu sudah bersedia dengan cabaran selepas ini.

"Kami tidak berasa tertekan, 100 peratus," katanya.

"Apa yang bakal dihadapi, kami sudah tahu. Jika anda bersama kami, sembilan mata adalah sesuatu yang positif. Perjalanan masih jauh.

"Orang ramai mungkin berkata 100 peratus tentangnya, Liverpool hanya akan melepaskan kelebihan itu.

"Ia satu pendekatan yang negatif tetapi anda boleh melihatnya secara berbeza. Namun, kami tidak peduli. Saya boleh berjanji kepada anda bahawa kami tidak peduli.

"Hari ini, kami fokus sepenuhnya dengan perlawanan ini dan bukan situasi dalam carta liga serta jumlah mata yang kami raih berbanding City.

"Itu gila. Sembilan mata mengatasi City, anda tidak pernah fikir ia akan berlaku tetapi itu tidak penting kerana siapa yang mahu berada di kedudukan pertama dalam bulan November? Anda mahu mengungguli liga pada Mei nanti.

"Sekarang baru sampai November. Kami sedar tentangnya tetapi tidak perlu menjelaskannya. Kami akan cuba dan lihat pengakhirannya.

"Tekanan atau apa sahaja masih belum ada. Ia akan tiba tetapi bukan ketika ini. Ia satu peluang dan kami akan mendapatkannya, terus bekerja, korbankan segala-galanya dan lihat apa yang berlaku."

Musim lalu, Liverpool hanya tewas sekali sebelum hanya dibezakan satu mata dengan kejuaraan liga dan dalam kempen kali ini, mereka masih belum kalah.

Ditanya sama ada Liverpool akan mengharungi musim tanpa kalah, Klopp menjawab: "Tidak.

"Kami tidak fikirkannya. Apa yang saya fikir selepas perlawanan tidak boleh disebut. Kini, pemain akan ke seluruh dunia mewakili pasukan kebangsaan masing-masing dan diharapkan akan pulang dengan sihat. Dua hari selepas itu, kami akan berdepan Crystal Palace. Itu yang saya fikirkan.

"Anda lihat hari ini. Tugas paling sukar adalah meraih kemenangan tetapi perlawanan sebegini lebih terperinci. Saya gembira dengan aksi hari ini."