MANCHESTER CITY 9 BURTON ALBION 0

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji aksi hebat pasukannya ketika membelasah Burton Albion 9-0 dalam separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.


Juara bertahan itu seakan-akan sudah layak ke perlawanan final selepas Gabriel Jesus menjaringkan empat gol dalam aksi di Stadium Etihad itu.

Kevin De Bruyne, Oleksandr Zinchenko, Phil Foden, Kyle Walker dan Riyad Mahrez turut tersenarai sebagai penjaring pada malam yang memberi igauan ngeri buat pasikan daripada Liga Satu itu.

Guardiola berbangga dengan persembahan yang dipamerkan pasukannya yang tetap memburu jaringan walaupun telah berkelebihan empat gol dalam babak pertama.

Dia kini sedang berkira-kira untuk merehatkan beberapa pemain menjelang jadual padat yang akan dilalui mereka selepas ini.

"Kami sudah berada dalam final.

"Sudah pasti kami masih perlu beraksi dalam perlawanan kedua dan kami akan mengambil serius perlawanan itu.

"Tahniah diucapkan kepada Burton kerana berjaya sampai ke tahap ini.

"Mereka telah menewaskan pasukan daripada Liga Perdana dan Liga Kejuaraan.

"Kami memperoleh jaringan pertama dengan pantas, namun tempoh selepas itu kurang baik buat kami.

"Kami tidak memanfaatkan gerakan dari sebelah kanan padang dan mereka mempunyai peluang lebih baik ketika itu.

"Perbezaan di antara mereka dan pasukan Liga Perdana adalah kami mempunyai pemain dan rentak permainan yang lebih berkualiti.

"Kami mempunyai keamatan untuk bermain selama 90 minit dan mereka tidak.

"Keadaan menjadi semakin mudah selepas kami menjaringkan gol ketiga dan keempat.

"Amat penting untuk kami memanfaatkan segala peluang.

"Kami tidak menyangka untuk menjaringkan gol sebanyak ini.

"Namun, ia perkara bagus kerana kami sudah ke final dan ia memberikan makna yang besar buat kami.

"Setiap perlawanan adalah penting dan kami amat berpuas hati untuk kembali ke Wembley," katanya.

Dalam pada itu, pengendali Burton, Nigel Clough, berbangga dengan prestasi yang dipamerkan pasukannya ketika menentang juara bertahan Liga Perdana itu.

Dia tidak mahu pemainnya terlalu terluka dengan kekalahan itu, sebaliknya mahu mereka menikmati kejayaan Burton melangkah ke separuh akhir.

"Saya tidak rasa kami mampu memberikan lebih daripada itu berdasarkan jurang prestasi di antara kedua-dua pasukan.

"Mereka pemain profesional dan tidak akan mengambil mudah sebarang perlawanan.

"Kami mungkin dapat melakukan lebih baik andai berdepan pasukan lain, namun pasukan seperti itu amat sukar untuk kami hadapi.

"Pasukan seperti Manchester United, Arsenal dan Chelsea mempunyai jurang yang amat ketara dengan kami.

"Kami perlu meraikannya, namun bukan disebabkan kegagalan malam ini.

"Ia disebabkan Burton berjaya ke separuh akhir.

"Kami mungkin tidak akan sampai lagi ke tahap ini pada masa akan datang.

"Ia merupakan kejayaan yang besar dan tidak semua pasukan mampu ke tahap ini," katanya.