CARDIFF CITY 0 LIVERPOOL 2

Liverpool terus meletakkan tekanan ke atas Manchester City dalam pemburuan mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas merampas kedudukan puncak, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kembali ke mercu liga hasil kemenangan 2-0 di Cardiff City yang menyaksikan Georginio Wijnaldum dan James Milner menyumbat gol dalam babak kedua.

Keputusan itu mengangkat Liverpool dua mata di depan pesaing utama, City, yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu boleh memintas Liverpool sekiranya mereka membenam Manchester United di Old Trafford, awal pagi Khamis ini, namun Milner mengakui Liverpool kini perlu terus memberi tekanan ke atas juara bertahan itu dalam misi mengekalkan kejuaraan mereka.

"Apa yang boleh kami lakukan ialah terus memberikan tekanan kepada mereka dan memenangi perlawanan yang membabitkan kami," kata bekas pemain tengah City itu kepada Sky Sports.

"Ia menjadikan situasi lebih sukar buat mereka kerana apabila kami keciciran mata sebelum ini, ia membuatkan mereka berasa selesa dan itu akan mendorong mereka melakukan kesilapan.

"Apa yang cuma dapat kami lakukan ialah memenangi baki perlawanan kami dan saya harap ia memadai. Jika tidak, kami perlu bersikap adil kepada City tetapi kami akan menekan mereka selagi boleh.

"Kedua-dua pasukan mempunyai jentera serangan yang mengancam dan klinikal dalam melaksanakan tugasan mereka.

"Ia bukan minggu yang mudah pada setiap minggu -- kami hanya tewas sekali sepanjang tahun ini tetapi kami menduduki tempat kedua (sebelum sepak mula perlawanan) dan kini kami kembali ke puncak untuk meletakkan sedikit tekanan ke atas mereka.

"Kami hanya perlu memberi tumpuan untuk menjadi sempurna dan selebihnya, perlu lihat sama ada ia sudah mencukupi."

Jaringan pembukaan Wijnaldum -- satu penyudah yang baik daripada gerakan bola mati -- sangat penting ketika bertemu Cardiff memandangkan tuan rumah memaksa mereka berhempas-pulas.

Namun, walaupun terpaksa menunggu sehingga minit ke-57 untuk memecah kebuntuan, pemain Belanda itu sentiasa yakin bahawa Liverpool akan menang kerana menguasai babak pertama.

"Ia sentiasa melegakan, terutama dalam detik penting musim ini. Kami tahu bahawa kami perlu menang dan dalam babak pertama, kami mencipta peluang tetapi tidak menjaringkan gol," kata Wijnaldum dalam temu bual selepas perlawanan.

"Semua orang sedang menantikan gol tersebut dan apabila anda mendapatkannya, ia merupakan kelegaan. Saya sangat gembira, begitu juga dengan peminat."