Jurgen Klopp menolak dakwaan bahawa Liverpool tidak memberikan aksi maksimum untuk cuba memenangi aksi setempat Merseyside berdepan Everton awal pagi tadi.

Liverpool melalui aksi ketiga tanpa sebarang jaringan dalam empat perlawanan bagi semua kejohanan di Goodison Park awal pagi tadi, sekali gus membolehkan Manchester City memiliki kelebihan satu mata di puncak carta Liga Perdana Inggeris.

Klopp memilih untuk menggunakan khidmat Divock Origi -- yang menjadi wira ketika aksi sama di Anfield, Disember lalu -- berbanding meletakkan Roberto Firmino dalam kesebelasan utama selepas penggempur Brazil itu terlepas aksi membelasah Watford.

Origi memberi laluan buat Firmino pada minit ke-63 sambil Klopp turut membawa masuk James Milner menggantikan Georginio Wijnaldum sebelum slot gantian akhir digunakan untuk memberi peluang buat Adam Lallana menggantikan Sadio Mane ketika permainan berbaki enam minit.

Situasi itu menyaksikan Daniel Sturridge dan Xherdan Shaqiri kekal di bangku simpanan tatkala Liverpool terus gagal mencipta jaringan di Goodison Park tetapi Klopp menolak persoalan mengenai keputusan yang dilakukan.

"Kami bukan main PlayStation. Anda rasa kami tidak mengambil risiko hari ini?" kata Klopp ketika sidang media.

"Itu yang anda mahu tanyakan? Ia satu soalan yang mengecewakan dan saya harus katakannya kerana ia tampak sangat mudah.

"Saya memberitahu pemain untuk terus mengambil risiko, 'Ayuh semua, teruskan usaha!' Adakah terdapat aksi yang kami tidak mahu menang? Yang mana satu? Tambahan serangan akan menggempur dalam sembilan aksi terakhir?

"Anda fikir ia PlayStation, bawa masuk penyerang tambahan dan bola sepak akan berubah. Ia bukan begitu! Kami cukup menyerang tetapi bola sepak tidak begitu. Masih ada sembilan aksi dan kami tidak hilang keyakinan seperti anda. Ini merupakan kali kedua anda bertanya yang saya tidak faham.

"City menang kelmarin dalam perlawanan di mana mereka mempunyai 20 peluang serta satu percubaan di penjuru gawang yang kebiasaannya Artur Boruc halang tetapi mereka menang. Jadi, terus membawa penyerang lain dan ya, kadangkala anda perlukannya.

"Kadangkala, anda tidak. Sesetengah detik memerlukan anda untuk membuat perkara yang betul tetapi ia tidak semestinya menjadi apabila kemasukan penyerang lain. Anda tidak boleh bermula dengan empat atau lima penyerang. Tiada usaha lain selain cuba mendapatkan gol. Kami mempunyai pasukan yang menyerang dan kami mengambil risiko, tidak diragukan.

"Tiada detik di mana kami katakan, 'Ayuh, lontarkan segalanya ke satu arah'. Anda tidak boleh main seperti itu dalam Liga Perdana Inggeris. Kami akan menentang Burnley minggu depan dan jika kami hanya menyerang, ia akan membunuh kami melalui serangan balas. 100 peratus, apa sahaja yang kami mahukan.

"Mereka tidak menunggu kami tetapi melihat di mana masalah kami dan cuba untuk menghukum. Sama seperti mempersiapkan diri untuk perlawanan yang perlu. Kami menanggung semua risiko tetapi anda tidak boleh mempertaruhkan lebih daripada 100 peratus. Bukan begitu."