Manchester City kini di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris tetapi Pep Guardiola percaya mereka mampu tampil lebih hebat musim depan.

City, yang kini di landasan untuk bergelar kelab pertama mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak musim 2008-09, memiliki 95 mata menuju ke perlawanan terakhir berbekalkan satu mata mengatasi Liverpool.

Juara bertahan itu akan bertandang ke Brighton and Hove Albion malam ini sambil Liverpool melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers dan kemenangan buat juara Piala EFL itu mencerahkan peluang untuk mengaut tiga trofi -- pencapaian yang tidak pernah dilakar mana-mana kelab di England.

Bagaimanapun, Guardiola menuntut sesuatu yang lebih bagus daripada skuad kendaliannya itu musim depan.

"Musim depan kami akan lebih kuat, saya pasti. Kami akan tampil lebih bagus," katanya.

"Kami faham musim ini kami mahu melakukannya lebih pantas berbanding musim lalu. Kami tidak ubah begitu banyak corak permainan, jadi semua orang lebih selesa dengan apa yang kami lakukan, termasuk ketika bertahan.

"Saya rasa kami menyerang dengan lebih baik. Banyak pasukan yang kami temui, mereka kerap bertahan, 11 pemain dalam kubu bertahan, jadi kami tidak berdepan banyak serangan balas dan kami bertahan dengan baik ketika situasi bola mati.

"Secara umum, terutamanya di pentas Liga Perdana Inggeris, kami sangat konsisten. Dalam Liga Juara-Juara Eropah, kami masih belum kukuh, melihat kepada kualiti lawan dan keinginan untuk melakukannya dengan baik tetapi itu adalah sebahagian daripada proses.

"Kami telah melakukan tugas hampir sama dengan musim lalu tetapi kami mengulanginya setiap tiga hari, jadi akhirnya dapat mencipta sesuatu yang lebih baik."