Jorginho akan menyertai Manchester City seandainya Napoli menerima tawaran tersebut, kata ejen kepada pemain tengah Itali itu.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang masih mempunyai baki kontrak dua tahun di Stadio San Paolo, mempamerkan persembahan memukau ketika pasukan kendalian Maurizio Sarri itu memberi cabaran hebat kepada Juventus dalam pemburuan gelaran Serie A sehingga menarik perhatian Pep Guardiola.

Pengurus City berkenaan memberitahu Sky Sports pada awal minggu ini bahawa dia sedang meneliti pasaran dalam pemburuan dua pemain musim ini -- pemain tengah untuk menggantikan Yaya Toure serta seorang penyerang lagi.

Jorginho dilabel calon sesuai dan wakilnya, Joao Santos, mendedahkan teruja dikaitkan dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Buat masa ini, Jorginho masih dalam kontrak tetapi jika Napoli mencapai persetujuan dengan City, pemain ini akan pergi ke Manchester," katanya seperti yang dipetik daripada ESPN.

"Persetujuan bersama dengan kelab Inggeris itu tidak akan menjadi masalah memandangkan mereka adalah kelab besar. Namun, seperti yang saya katakan, ia bergantung kepada Napoli kerana kontraknya masih berbaki dua tahun lagi."

Bagaimanapun, Santos -- pada awal bulan ini mendakwa terdapat empat atau lima kelab EPL yang tertarik dengan pemain itu -- namun menegaskan Joginho sama sekali tidak akan melancarkan protes andai tidak dilepaskan kelab.

"City adalah juara Inggeris dan mereka antara kelab terbaik di Eropah. Kami hanya perlu bertenang dan jika Napoli dan City mencapai persetujuan, maka kami boleh membincangkannya. Jika tidak, pemain ini akan gembira kekal di Napoli."

"Pada masa ini, saya belum mendengar apa-apa perkembangan daripada pengurusan Azzurri kerana saya membayangkan mereka sedang terperangkap dengan perancangan musim depan.

"Saya berharap mendapat perkhabaran daripada pengarah sukan kelab dan mungkin saya akan ke Naples dalam masa beberapa hari lagi untuk berbincang dengannya."

Pemain kelahiran Brazil itu menyertai Napoli dari Verona pada tahun 2014 dan mewakili negara angkatnya itu sebanyak lima kali yang menyaksikannya beraksi tiga kali dalam kesebelasan utama.

Jorginho sempat menentang City musim ini ketika skuad kendalian Guardiola itu meledak 4-2 dalam perlawanan Liga Juara-Juara di Naples, November lalu.