Bintang Napoli, Jorginho, kini dalam radar empat atau lima kelab Liga Perdana Inggeris tetapi masih memiliki kemungkinan akan terus kekal di Itali, kata ejennya.

Pemain kelahiran Brazil-Itali ini mengharungi musim yang cemerlang bersama Napoli.

Walaupun memiliki kontrak hingga 2020, pemain berusia 26 tahun itu dikaitkan bakal berhijrah dan ejennya, Joao Santos, mengesahkan beberapa kelab EPL sedang memburunya.

"Bidaan daripada Manchester City untuk Jorginho? Semua orang tahu bahawa empat atau lima kelab EPL sedang berusaha mendapatkan Jorginho," katanya.

"Napoli masih belum berkata apa-apa dan saya juga belum berbincang dengan pasukan lain secara rasmi. Saya menunggu Napoli untuk mengatur masa depannya.

"Jorginho masih memiliki dua tahun kontrak bersama Napoli. Jika kelab mengambil keputusan untuk menjualnya, dia hanya perlu mencari persetujuan bersama kelab lain dan kembali berbincang mengenainya," jelasnya.

Jorginho telah membuat 37 penampilan dalam semua kejohanan dan menjaringkan empat gol.

Ketika pemain tengah itu dikaitkan dengan perpindahan, Santos mencadangkan persetujuan baru bersama Napoli masih boleh dicapai.

"Kami perlu menunggu hingga penghujung musim ini untuk berbincang dengan Napoli. Segala-galanya boleh berlaku dalam bola sepak."