Slavisa Jokanovic menolak tanggapan bahawa Fulham meniru corak permainan Manchester City.

Selepas tewas dua perlawanan sulung Liga Perdana Inggeris (EPL), Fulham bangkit dengan menewaskan Burnley dan seri di Brighton & Hove Albion.

Mereka akan menghadapi ujian sukar apabila ke Stadium Etihad esok untuk menghadapi juara bertahan, City -- sebuah pasukan yang dibandingkan dengan Fulham berikutan komitmen mereka untuk menguasai permainan.

Bagaimanapun, Jokanovic berkata perbezaan di antara beliau dan pengurus City, Pep Guardiola, cukup ketara.

"Saya tidak menggunakan gayanya, saya menggunakan gaya dan pemain saya," kata Jokanovic dalam sidang akhbar.

"Kami tidak dapat dibandingkan. Beliau merupakan salah seorang pengurus paling berjaya, beliau menunjukkan corak yang sama dan tidak mustahil untuk mengetengahkan corak permainan sebegitu dalam kancah ini. Pujian harus diberikan kepadanya, beliau telah membuat langkah yang sangat penting dalam permainan ini.

"Tetapi meniru biasanya tidak bagus -- bukan mudah untuk menyamai tahap seperti itu setelah mereka menunjukkan jalannya. Kami cuba mendapatkan rentak sendiri dan menyesuaikan dengannya dan cuba melakukan apa yang mampu untuk mencipta peluang kemenangan."

Jokanovic layak dua kali ke EPL tetapi ini julung kalinya pengurus berbangsa Serbia itu mengemudi cabaran di peringkat tertinggi setelah meninggalkan Watford untuk mengambil alih jawatan di Maccabi Tel Aviv selepas memimpin The Hornets lolos daripada Liga Kejuaraan pada 2015.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa masih banyak yang perlu dipelajari di peringkat tertinggi.

"Saya seorang pengurus muda dan akan berdepan banyak lagi ujian," tambah Jokanovic.

"Ini satu lagi perlawanan penting, pasukan ini telah dibina selama beberapa tahun dan kurang berbelanja daripada kami pada jendela perpindahan ini memandangkan apa yang telah dibelanjakan sebelum ini. Saya menjangkakan kami akan berjaya dan kurang berbelanja pada musim depan.

"Kami perlu menyesuaikan diri dengan kancah EPL. Ada sejarah hebat di belakang City dan mereka mengambil langkah untuk menjadi kompetitif dalam Liga Juara-Juara."