Pep Guardiola memberitahu Manchester City bahawa mereka perlu bijak menggunakan sebarang kesilapan Liverpool dalam usaha memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

City memintas Liverpool di puncak liga selepas mengatasi Bournemouth 1-0 kelmarin tatkala The Reds bakal turun menentang Everton bagi aksi setempat Merseyside sehari kemudian.

Namun, Everton jelas dapat mengekang anak buah Jurgen Klopp itu sehingga memaksa perlawanan berakhir tanpa sebarang jaringan, memberikan City kelebihan satu mata di puncak liga ketika saingan berbaki sembilan perlawanan.

City dilihat mempunyai pengalaman dalam menjulang trofi selepas memecahkan rekod musim lalu dan Guardiola -- yang bercakap sebelum aksi Liverpool dan Everton yang berakhir seri -- teruja dengan perlumbaan kejuaraan liga musim ini.

"Saya lebih suka situasi musim lalu -- berada 12 mata di atas -- tetapi itu tidak normal, musim lalu adalah satu pengecualian," kata Guardiola.

"Bagus masih di situ selepas apa yang berlaku musim lalu. Kami bakal 10 mata di belakang apabila Liverpool hadir ke laman kami atau tujuh mata ketinggalan sewaktu tewas di tangan Newcastle tetapi hari ini kami berada di puncak liga.

"Sudah tentu mereka akan beraksi tetapi kami hanya mahu berada di atas. Biarkan mereka rasa kami ada dekat dengan mereka. Itu yang boleh kami lakukan dan jika mereka lakukan kesilapan, gunakan kesempatan itu.

"Bagus berada di situ. Kami mempunyai dua trofi musim ini, iaitu Perisai Komuniti dan Piala Liga, kemudian bersama Liverpool -- yang mengharungi kutipan mata terbaik dalam Liga Perdana Inggeris -- serta mengutip 100 mata, anda boleh tenang dan berpuas hati.

"Apa yang berlaku musim lalu memberikan banyak makna. Kami akan menghadapi aksi Liga Juara-Juara Eropah berdepan Schalke di tempat sendiri.

"Diharapkan penyokong datang memberi sokongan untuk membolehkan kami ke suku akhir dalam satu lagi pemburuan trofi. Kami juga satu perlawanan daripada aksi separuh akhir Piala FA di Wembley.

"Ia bukan satu tekanan tetapi satu kegembiraan."