ARSENAL 2 TOTTENHAM HOTSPUR 0

Hasrat Tottenham Hotspur untuk memintas Manchester United di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) sekurang-kurangnya selama dua jam lebur apabila tewas 0-2 di tangan Arsenal dalam aksi di Stadium Emirates, sebentar tadi.

Hadir ke tempat lawan berbekalkan 23 mata di kedudukan ketiga liga, Spurs yang mempertaruhkan penyerang England, Harry Kane, di barisan depan hampir mengejutkan tuan rumah seawal minit keenam apabila penjaring terbanyak musim lalu itu melepasi benteng Gunners sebelum melepaskan rembatan padu, namun bola menuju tepat ke dakapan penjaga gol, Petr Cech.

Sepuluh minit kemudian, Alexandre Lacazette terlepas peluang untuk meletakkan Arsenal di depan, selepas hantaran Hector Bellerin dari sebelah kanan gagal disempurnakan penyerang berusia 26 tahun itu.

Percubaan leret Christian Eriksen pada minit ke-32 perlawanan sekadar sipi di sebelah kanan gol dan seminit kemudian, Kane sekali lagi kempunan untuk membuka tirai jaringan apabila tandukannya dinafikan Cech buat kali kedua.

Penguasaan bola yang ditunjukkan Spurs nyata tidak memberikan sebarang makna apabila skuad bimbingan Arsene Wenger yang terlebih dahulu meledakkan gol pembukaan pada minit ke-36 menerusi pertahanan Jerman, Shkodran Mustafi.

Sepakan percuma dari sebelah kiri oleh Mesut Ozil bijak ditanduk Mustafi menewaskan Hugo Lloris walaupun bekas pemain Valencia itu dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.

Asakan bertali-arus tuan rumah membolehkan mereka menambah gol kedua lima minit kemudian, kali ini menerusi Alexis Sanchez yang menyudahkan hantaran lintang Lacazette, bagi memberikan Arsenal bekalan dua gol menuju waktu rehat.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Wenger terus memburu jaringan apabila melakukan asakan demi asakan ke kubu lawan, dan Sanchez hampir mencatat gol kedua peribadi pada minit ke-69 tetapi rembatan dari luar kotak penalti oleh pemain sayap Chile itu sekadar melewati palang gol.

Pelawat hampir merapatkan jurang ketika permainan berbaki 10 minit apabila Eric Dier melakukan tandukan yang memerangkap Cech, namun penjaga gol dari Republik Czech itu sempat melayangkan badan dan menguis bola keluar.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, meletakkan Arsenal di tangga kelima liga dengan 22 mata sementara Spurs kekal di tangga ketiga dengan perbezaan satu mata berbanding Gunners.