Jadual bertemu Burnley sulitkan percaturan Klopp 

Oleh Staff Writer 10 Mac 2019 2611
Jadual bertemu Burnley sulitkan percaturan Klopp 
Jurgen Klopp mempersoalkan jadual pertembungan Liverpool dengan Burnley malam ini -- tiga hari sebelum mereka berhadapan dengan Bayern Munich.

Liverpool berkesempatan untuk merapatkan jurang dengan pemimpin Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, kembali kepada satu mata apabila mereka menyambut Burnley di Anfield. 

Hanya tiga hari kemudian, mereka akan menghadapi Bayern di Allianz Arena untuk pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) yang masih terikat dengan agregat 0-0.

Klopp berkata beliau tidak pasti sama ada badan induk liga England berkenaan akan terkesan dengan kebimbangannya. 

Meskipun akur dengan jadual tersebut, pengurus berbangsa Jerman tersebut tetap menganggap kelebihan rehat lebih sehari lagi boleh membuat perbezaan yang besar.

"Saya tidak fikir sesiapapun di pihak pentadbir liga ada mempertimbangkan soal itu. Ia bukan sesuatu yang menarik bagi mereka. Saya sudah menyuarakan hal ini ketika di peringkat kumpulan lagi dan ketika itu orang menganggap saya sekadar mencari alasan," katanya kepada media UK.

"Sudah tentu, ia akan memberikan perbezaan. Jika kami mempunyai waktu persediaan selama tiga hari, Sabtu hingga Rabu maka pagi ini kami sepatutnya boleh menjalani program pemulihan. Kemudian esok kami boleh mengadakan sesi latihan singkat.

"Sesi persediaan sebenar akan berlangsung Selasa dan kemudian kami akan beraksi pada Rabu.

"Sebaliknya kami perlu beraksi hari ini, kemudian program pemulihan diadakan esok dan kami berkesempatan mengadakan beberapa sesi latihan pada Selasa.

"Jika bermain di peringkat Eropah, kami biasanya akan berlatih di stadium dan ketika itu kami tidak boleh melakukan apa-apa lagi. Itulah sebabnya kali ini kami melakukannya dengan sedikit berbeza dan kami akan berlatih di Anfield, pagi Selasa depan. 

"Bukannya kami mahu mencipta alasan. Kami akur tentang tanggapan orang ramai tetapi ada pihak yang perlu mempertimbangkan soal ini. Seseorang yang boleh mengubah keputusan ini."

Lawan yang bakal dihadapi Liverpool dalam UCL, Bayern, membelasah Wolfsburg 6-0 dalam aksi Bundesliga awal pagi tadi. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen