Ivory Coast mendedahkan mereka tidak mendapat sebarang maklumat selepas bekas kapten, Yaya Toure, gagal melaporkan diri untuk tugasan antarabangsa.

Toure bersara dari peringkat antarabangsa pada September 2016, namun pemain yang telah membuat penampilan antarabangsa sebanyak 113 kali itu menawarkan diri untuk beraksi menjelang perlawanna persahabatan dengan Togo dan Moldova.

Ivory Coast dijangka menghadapi Togo pada 24 Mac dan Moldova, tiga hari kemudian di Perancis.

Bagaimanapun, Ivory Coast semalam mengesahkan mereka masih menunggu ketibaan pemain tengah Manchester City berusia 34 tahun itu.

"Barisan kejurulatihan Ivory Coast tidak mempunyai perkembangan mengenai ketua pasukan dalam kejayaan Piala Afrika 2015," kata laporan yang dipetik daripada laman sesawang rasmi Persekutuan Bolasepak Ivory Coast.

Secara keseluruhannya, Toure tampil dalam 13 perlawanan bersama City musim ini.