ARSENAL 1 BRIGHTON & HOVE ALBION 2

Freddie Ljungberg mengakui pemain Arsenal sedang mengalami krisis keyakinan setelah mereka tunduk 1-2 kepada Brighton & Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri awal pagi tadi.


Tandukan Neal Maupay di penghujung permainan itu memastikan The Seagulls memungut mata penuh yang menyaksikan Ljungberg terpaksa menunggu lagi bagi merakamkan kemenangan sulung sejak mengambil alih tugas berkenaan daripada Unai Emery buat sementara waktu.

Arsenal kini tidak menang dalam sembilan perlawanan dalam semua kejohanan -- rekod terburuk sejak Mac 1977 -- untuk menduduki tangga ke-10, dijarakkan 10 mata dengan empat pasukan teratas.

Ljungberg mengakui skuad bimbingannya itu mengalami krisis keyakinan yang teruk sambil melabel "ini bukanlah Arsenal" kepada pemainnya berikutan aksi hambar dalam babak pertama.

"Ia adalah sukar. Kami tidak mempamerkan permainan memberangsangkan dalam separuh masa pertama, tidak bekerja keras dan mahu beraksi, anda tidak boleh memulakan perlawanan seperti itu," katanya kepada wartawan.

"Dalam separuh masa kedua, kami berbincang dan berubah menjadi lebih baik tetapi kami diancam serangan balas dan kami tidak mempunyai keyakinan.

"Kami membenarkan pihak lawan untuk menguasai permainan selama 45 minit di tempat sendiri. Saya perlu berusaha untuk memperbaiki aspek itu dan mengembalikan keyakinan barisan pemain.

"Ini satu kebimbangan kepada mana-mana jurulatih, kurang keyakinan. Dalam separuh masa pertama, kami berkata 'ini bukan Arsenal, kami perlu berikan saingan.' Itulah yang saya mahu lihat daripada mereka.

"Sudah tentu ia mengecewakan tetapi kami perlu meneruskan permainan. Pemain-pemain kurang yakin, saya fikir anda dapat melihatnya. Wujud sedikit tindak balas dalam babak kedua tetapi anda perlu memulakan permainan seperti itu.

"Kami berada dalam situasi yang sukar, kami telah keciciran mata dalam banyak perlawanan dan keyakinan semakin menurun. Kami memulakan permainan dengan tidak bertenaga. Adalah menjadi tugas saya untuk menjadikan mereka agresif dan bermain dengan bertenaga."

Sementara itu Graham Potter kini memenangi kedua-dua perlawanannya di Stadium Emirates selepas memimpin kelab Sweden, Ostersunds, untuk kemenangan 2-1 ke atas Arsenal pada Februari 2018.

Ia adalah kemenangan pertama Brighton ke atas Arsenal, sekali gus menamatkan tiga kekalahan berturut-turut.

"Ia adalah detik yang baik, tiga mata yang menarik, ia memberikan kami kepercayaan," kata Potter kepada Prime-Video. "Saya fikir kami telah beraksi lima daripada enam perlawanan penting di tempat lawan, kami semakin baik.

"Kami beraksi baik ketika menentang Liverpool tetapi tidak dapat meraih apa-apa. Tetapi hari ini, saya fikir ia adalah permainan yang baik daripada kami. Ia tidaklah sempurna, anda tidak boleh mencapai kesempurnaan tetapi kami menunjukkan karakter, keberanian dan kualiti yang mencukupi.

"Semoga ia menyuntik keyakinan dan kepercayaan terhadap usaha yang sedang kami lakukan. Ia tidak jauh. Kadang-kadang anda perlu melihatnya dengan teliti dengan gambaran yang lebih besar.

"Persembahan kami ini memberi bermakna bahawa jika kami terus meningkatkan prestasi, maka kami akan dapat memungut mata dalam liga ini."