Impian jadi kenyataan -- Maguire

Oleh Staff Writer 18 Januari 2020 175
Impian jadi kenyataan -- Maguire
Harry Maguire berbangga mengambil alih tempat Ashley Young selaku kapten Manchester United, dengan pertahanan England itu menganggap ia sebagai 'impian jadi kenyataan'.

Young menamatkan tempoh lapan setengah tahun di Old Trafford semalam, dengan pemain kebangsaan England itu menyertai bekas rakan sepasukan, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez, di Inter.

Ole Gunnar Solskjaer mengesahkannya dalam sidang media menjelang pertembungan United dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, bahawa Maguire bakal mengambil alih lilitan kapten walaupun baru sahaja tiba di kelab itu Ogos lalu.

Maguire meluahkan keterujaannya selepas dipilih sebagai kapten manakala bekas kapten United, Wayne Rooney, turut mengucapkan tahniah kepada pemain berusia 26 tahun itu.

"Ia adalah impian jadi kenyataan dipilih sebagai kapten Man Utd," kata Maguire menerusi lawan Twitter. "Saat yang membanggakan bagi saya. Saya mahu mengucapkan semoga berjaya buat Ashley Young di Inter."

Young pula membuat ucapan selamat tinggal kepada staf, pemain serta penyokong United.

"Kepada Man Utd, anda telah memberikan saya peluang beraksi bersama legenda, memenangi gelaran, berkhidmat untuk pengurus terbaik (Alex Ferguson) dalam sejarah dan menjadi kapten anda.

"Terima kasih kerana membenarkan saya menjadi sebahagian daripada pasukan buat lapan setengah tahun ini," kata Young menerusi laman Twitter.

"Kepada penyokong United, saya sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali turun menyarung jersi ini. Terima kasih di atas sokongan anda."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen