Pemain pinjaman Manchester United, Odion Ighalo, menyifatkan peluang menyertai The Red Devils sebagai 'impian jadi kenyataan' berikutan perpindahan pada hari terakhir jendela perpindahan bulan lalu.

United menyempurnakan perpindahan pinjaman penyerang Shanghai Shenhua itu Jumaat lalu, dengan pemain berusia 30 tahun itu akan kekal bersama pasukan sehingga tamat musim ini.

Ketika bintang United, Marcus Rashford, berdepan masalah kecederaan yang memaksa dirinya direhatkan selama dua bulan, mereka mendapatkan khidmat Ighalo, yang menjaringkan 10 gol dalam saingan Liga Super China (CSL) musim lalu.

"Ia merupakan impian jadi kenyataan kerana saya telah mengikuti Manchester United dan mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini," kata bekas penyerang Watford, Ighalo kepada Sky Sports.

"Tetapi segalanya sudah menjadi realiti dan saya tidak boleh bercakap banyak sehinggalah saya mula beraksi."

Ighalo, yang telah dikaitkan ke United ketika dikendali oleh Louis van Gaal selepas menjaringkan 40 gol dalam 100 penampilan untuk Watford, telah membintangi saingan CSL.

Selepas meledak 36 kali dalam semua kejohanan bersama satu lagi kelab CSL, Changchun Yatai, pemain kebangsaan Nigeria itu berhijrah ke Shenhua tahun lalu.

"Saya sangat gembira kerana tiba di Manchester," katanya. "Ini merupakan peluang buat saya dan bersyukur kepada tuhan dan kepada ejen saya dan jurulatih yang memberikan peluang kepada saya untuk berada di sini.

"Saya sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan pasukan dan mahu menamatkan musim ini dengan baik. Perancangannya adalah berehat dahulu selepas perjalanan jauh dari Shanghai ke Manchester. Hari ini saya berehat dahulu sebelum berlatih esok bersama pasukan."

United seri tanpa jaringan dengan Wolves di laman sendiri Sabtu lalu.

Selepas tamat rehat pertengahan musim, United bakal berdepan Chelsea di Stamford Bridge, 17 Februari ini.



Editor: Ammar Hakim