Odion Ighalo terdesak untuk melakukan penampilan pertamanya bersama Manchester United dan akan menyertai pasukan itu ketika berkunjung ke Chelsea minggu depan.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, mengesahkan bekas penyerang Watford itu sedang berada dalam perancangannya untuk dibawa ke Stamford Bridge.

Pemain yang dipinjam daripada Shanghai Shenhua itu merupakan pembelian saat-saat akhir United memandangkan skuad kendalian Solskjaer itu kekurangan penyerang utama selepas Marcus Rashford tercedera.

"Dia (Ighalo) akan menyertai kami (ke Chelsea)," kata Solskjaer dalam laman web rasmi pasukannya.

"Kami akan menilai tahap kecergasannya minggu ini dan saya fikir kami akan menjadikannya lebih tajam.

"Kami mahu menyediakannya secepat mungkin kerana sudah pasti, dia juga terdesak untuk bermain bersama kami," katanya.

Solskjaer kini berada di Sepanyol bagi memenuhi jadual waktu rehat pertengahan musim pasukannya.

Ighalo dilaporkan kembali ke England kerana "sebab yang berada di luar kawalan" kelabnya dengan wabak novel koronovirus dilihat faktor pendorong penyerang itu meninggalkan China.

Seorang lagi pemain baru United ialah Bruno Fernandez, yang melakukan penampilan pertamanya ketika pasukan itu terikat 0-0 dengan Wolves awal bulan ini, dan Solskjaer amat teruja untuk melihat pemain tengah Portugal itu mencipta impak.

"Dia pemain yang amat-amat bagus dan mindanya bergerak lebih pantas berbanding pemain lain.

"Dia memberikan banyak sumbangan yang kami akan terbiasa dengannya.

"Kami akan membiasakan diri dengannya dan dia akan membiasakan diri dengan kami.

"Jangkauan hantarannya, umpanannya, pergerakannya, saya gembira untuk menyaksikannya bermain," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa