Odion Ighalo gembira untuk menerima potongan gaji demi melengkapkan perpindahan ke Manchester United.

Jumaat lalu, penyerang Nigeria, Ighalo, menyertai United secara pinjaman daripada Shanghai Shenhua sehingga hujung musim ini sekali gus menyaksikan dia kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas memperkuatkan Watford, sebelum ini.

Walaupun minat daripada United hadir di saat akhir, pemain itu menegaskan dia tidak teragak-agak untuk meninggalkan China buat sementara dan menyertai kelab yang diminati sejak sekian lama.

"Sejak jam 11 malam, terdapat kertas kerja, perbincangan dan lain-lain untuk proses pinjaman itu, jadi kami berbincang. Pasukan lain ada menghubungi dan mahukan saya tetapi saya memberitahu ejen apa yang dimahukan. Saya mahu datang ke sini.

"Dia berkata: 'Untuk sertai United, anda akan menerima potongan gaji.' Saya menjawab: 'Saya tidak kisah. Selesaikan perpindahan itu. Saya mahu ke United. Saya tidak kisah berapa jumlah potongan gaji dilakukan, saya sedar tentangnya, jadi selesaikan perpindahan itu."

Ighalo bakal berpeluang membuktikan kemampuannya di Old Trafford susulan masalah ketumpulan barisan depan akibat kecederaan yang dialami Marcus Rashford.

"Saya sangat gembira. Ia seperti mimpi menjadi kenyataan," tambah penggempur itu.

"Orang yang mengenali saya, bahkan di Nigeria dan sewaktu saya beraksi untuk Watford, rakan sepasukan tahu saya sayangkan United, menyokong mereka.

"Apabila menentang United, ia beremosi kerana ia adalah impian saya.

"Sewaktu kami muda di Nigeria, kami sering menonton Liga Perdana Inggeris ketika Andy Cole dan Dwight Yorke beraksi.

"Ramai orang menyokong United, jadi saya terapkan rasa sayang itu dalam diri kerana kesemua adik-beradik saya merupakan peminat The Red Devils.

"Saya tidak sangka perpindahan ini akan berlaku tetapi ia mimpi menjadi kenyataan. Saya sangat gembira untuk berada di sini, menjadi lebih bagus dan menerima cabaran yang baik dalam karier."

Memandangkan ketika ini sedang tempoh rehat musim sejuk, United hanya akan kembali beraksi pada 17 Februari depan, di mana skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu akan menentang Chelsea.

United kini berada di tangga ketujuh liga, enam mata di belakang Chelsea yang menduduki tempat keempat liga.


Editor: Nafis Abdullah