Jurgen Klopp enggan memuji kebangkitan Liverpool ketika menewaskan Newcastle United 3-1 malam tadi sambil berkata ia sememangnya tugas yang perlu dilaksanakan The Reds.

Jetro Willems menghasilkan gol gemilang untuk meletakkan Newcastle di depan di Anfield, namun Liverpool bangkit menerusi jaringan berganda Sadio Mane dalam babak pertama dan gol daripada Mohamed Salah pada lapan minit terakhir perlawanan.

Liverpool mungkin memperoleh jaringan lebih besar, namun ketangkasan Martin Dubravka di depan gawang Newcastle menjejaskan hasrat itu.

Klopp mengakui pasukannya telah memaparkan perwatakan hebat untuk menterbalikkan keputusan perlawanan, namun pengendali berbangsa Jerman itu tidak terlalu terpikat.

"Ia tidak membuatkan saya lega kerana saya fikir ia memang tugas mereka," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami tidak boleh beraksi baik hanya pada hari terbaik.

"Jika anda melewati hari-hari biasa, anda masih perlu beraksi baik untuk memenangi perlawanan.

"Kami perlu mempelajarinya daripada perlawanan ini.

"Cabaran selepas waktu rehat antarabangsa sentiasa mengenai pencarian rentak sebenar.

"Kami perlu sentiasa melakukannya, kami memerlukan lebih masa hari ini.

"Ia tidak mengapa selagi kami tidak dibolosi lagi kerana sentiasa ada peluang untuk kami bangkit," katanya.

Roberto Firmino memainkan watak penting selepas masuk menggantikan Divock Origi yang cedera dalam babak pertama.

Dia menjadi pencatus jaringan kedua Mane sebelum membantu jaringan Salah dengan sungkitan menariknya.

Dan Klopp mengakui percaturannya tidak membuahkan hasil sehingga Firmino dibawa masuk.

"Ia merupakan idea saya untuk meletakkan Sadio di tengah dan Div (Origi) di sayap kiri.

"Ia pernah berjaya sebelum ini, namun (malam tadi) ia tidak berapa menjadi.

"Kami mengubahnya dalam perlawanan tetapi malangnya Div terseliuh buku lali pada awal permainan dan terpaksa dikeluarkan.

"Kami harap ia tidak serius.

"Kemudian Bobby (Firmino) masuk ke posisi asalnya dan Sadio mendapat lebih ruang untuk lebih fleksibel, Mo (Salah) amat kuat ketika berdepan fizikal lawan.

"Apabila kami lebih fleksibel dan menggunakan Mo lebih banyak di dalam kotak penalti lawan, kami dapat menguasai permainan.

"Kami banyak memenangi bola kedua, sedikit serangan balas dan ia permainan yang hebat.

"Gol-gol yang hebat. Kami melalui momen yang lebih baik yang kami tidak menyudahkannya," tambahnya.