HUDDERSFIELD TOWN 2 MANCHESTER UNITED 1

Rekod tanpa kalah Manchester United yang dikendalikan oleh Jose Mourinho lebur dalam perlawanan kesembilan selepas tewas 2-1 di tangan Huddersfield Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium John Smith, malam tadi.


Keputusan itu menyaksikan Huddersfield, yang baru dinaikkan ke liga utama pada musim ini, menamatkan penantian selama 65 tahun untuk menewaskan Red Devils.

United turun tanpa beberapa tonggak utama seperti Paul Pogba dan Marouane Fellaini yang masih cedera dan pertahanan tengah, Phil Jones, menambah senarai itu pada awal perlawanan sehingga memaksa Mourinho menggantikannya dengan Victor Lindelof pada minit ke-23.

Kemasukan pertahanan Sweden itu membuatkan barisan pertahanan United menjadi goyah sehingga membenarkan tuan rumah membuka tirai jaringan, lima minit kemudian.

Kawalan bola yang licik daripada Thomas Ince mengelirukan Lindelof sebelum rembatannya berjaya ditepis keluar oleh David de Gea, namun Aaron Mooy berada dalam posisi yang tepat untuk merembat masuk gol pertama.

Kesilapan Lindelof yang gagal menanduk bola keluar dari kawasan bahaya pada minit ke-33 memberikan ruang buat Laurent Depoitre untuk mudah merembat bola masuk gol kedua, sekaligus memberikan pendahuluan selesa buat anak-anak buah David Wagner.

Babak kedua menyaksikan United memasukkan Henrikh Mkhitaryan dan Marcus Rashford, membolehkan mereka menguasai sebahagian besar perlawanan, namun gawang tuan rumah yang dikawal Jonas Lossl kebal daripada dibolosi.

Usaha bertali arus Red Devils akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-78, selepas hantaran lintang Romelu Lukaku berjaya ditanduk masuk oleh Rashford untuk merapatkan jurang buat United.

Bagaimanapun, strategi bertahan yang diterapkan Wagner diterjemahkan dengan baik oleh pasukannya dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan United kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Manchester City, sementara Huddersfield berada di tangga ke-10 dengan 12 mata.