Pengendali Crystal Palace, Roy Hodgson, berkata Wilfried Zaha mungkin akan tetap berpindah walaupun jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris telah berakhir.

Sebelum minggu terakhir musim perpindahan, Palace menolak bidaan daripada Everton untuk pemain itu yang turut menarik minat Arsenal sambil dia melakukan permintaan untuk berpindah dalam usaha keluar dari Selhurst Park.

Zaha menjaringkan 10 gol buat The Eagles musim lalu selepas menandatangani kontrak lima tahun pada Ogos 2018.

Palace dilaporkan meletakkan tanda harga GBP80 juta (RM405 juta) buat pemain berusia 26 tahun itu dan meskipun perpindahan di England sudah berakhir, penghijrahannya ke kelab luar masih boleh berlaku.

Jendela perpindahan di Eropah masih terbuka sehingga 2 September depan dan beberapa kelab seperti Borussia Dortmund dan Napoli dikatakan berminat dengan khidmat Zaha, sekali gus membuatkan Hodgson bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Anda tidak boleh menolak kemungkinan ia akan berlaku kerana jendela perpindahan di Eropah masih terbuka sehingga penghujung bulan ini," katanya.

"Ia bukan sesuatu yang saya risaukan kerana saya tidak boleh berbuat apa-apa. Situasi itu tidak merisaukan tetapi jika anda bertanya sama ada saya mahukan ia berlaku, jawapannya tidak.

"Saya lebih suka melihatnya tunduk dan menunjukkan komitmen untuk musim ini serta membantu saya, barisan kejurulatihan serta pemain bagi menghadapi saingan liga. Itu yang saya mahukan."

Zaha, yang lewat kembali menyertai persiapan pramusim susulan saingan Piala Negara-Negara Afrika bersama Ivory Coast, dikatakan tidak bersedia untuk turun dalam kesebelasan utama bagi aksi pembukaan liga menentang Liverpool dan walaupun masuk dalam babak kedua, perlawanan itu berakhir tanpa jaringan.